Skip to main content

Dunia

M'sia selamatkan 403 rakyat terbabit sindiket skim pekerjaan di negara jiran, cuba kesan lagi 169

Malaysia menyelamatkan 403 warganegaranya di Myanmar, Kemboja, Laos dan Thailand yang dilaporkan menjadi mangsa sindiket skim penipuan pekerjaan.

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Malaysia menyelamatkan 403 warganegaranya di Myanmar, Kemboja, Laos dan Thailand yang dilaporkan menjadi mangsa sindiket skim penipuan pekerjaan.

Lagi 169 individu "masih dijejaki".

Dalam satu kemas kini kepada Parlimen pada Selasa (21 Feb), Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin berkata 382 daripada mangsa berkenaan sudah dihantar pulang ke Malaysia, manakala lagi 21 masih ditahan di sebuah depoh tahanan, lapor agensi berita BERNAMA.

Pihak berkuasa masih cuba menjejaki lagi 169 rakyat Malaysia yang dilaporkan diumpan ke negara-negara itu oleh sindiket skim penipuan pekerjaan, katanya.

Encik Mohamad menjawab soalan parlimen mengenai apakah langkah-langkah yang diambil bagi melindungi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa skim penipuan di luar negara, terutama sekali di Malaysia.

Para pegawai di kedutaan Malaysia di keempat-empat negara mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa di negara-negara itu untuk mengesan dan menyelamatkan rakyat Malaysia tersebut, katanya.

Para pegawai juga menawarkan bantuan konsular untuk membantu mereka pulang ke tanah air, dengan kos penghantaran pulang dibayar oleh keluarga mangsa, katanya.

Pada September tahun lalu, satu kenyataan oleh kementerian ehwal luar Malaysia menyatakan ia menerima 301 laporan mengenai individu yang terperangkap dalam skim penipuan pekerjaan dan aktiviti disyaki jenayah siber di Kemboja, Laos, Thailand dan Myanmar.

Mangsa-mangsa tersebut berkata mereka diumpan untuk ke salah satu negara tersebut, iaitu Kemboja, dengan janji mendapat pekerjaan bergaji tinggi di kasino dan hotel namun mereka dipaksa untuk tinggal di rumah yang sempit dan menipu pengguna online dengan helah cinta internet dan skim matawang kripto, menurut kementerian tersebut sebelum ini.

Pada waktu itu, 168 daripada 301 individu sudah diselamatkan, 34 ditahan di tempat tahanan imigresen dan lagi 99 masih dikesan, menurutnya.

Berdasarkan perangkaan yang disediakan pada Selasa oleh Encik Mohamad, keseluruhan jumlah mangsa skim penipuan yang dilaporkan sejak itu kini naik hampir seganda kepada 572.

SG PANTAU KEMUNGKINAN MANGSA PENIPUAN DISELUDUP

Pada Oktober lalu, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal dalam Negeri K Shanmugam  berkata polis Singapura sedang memantau bagi sebarang potensi aktiviti penyeludupan mangsa skim penipuan yang diumpan oleh sindiket skim penipuan untuk "bekerja" di negara-negara jiran seperti Kemboja, Thailand, Myanmar dan Laos.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan parlimen, Encik Shanmugam berkata satu aduan difailkan melibatkan potensi mangsa dari Singapura yang ditahan tanpa izin di Myanmar untuk bekerja bagi sindiket skim penipuan di sana.

Namun laporan itu berdasarkan maklumat terpakai. Polis Singapura merujuk laporan itu kepada pihak berkuasa di Myanmar bagi bantuan.

Encik Shanmugam menambah Singapura mengambil bahagian dalam pelbagai usaha serantau untuk membincangkan kerjasama dalam memerangi jenayah rentas negara, termasuk skim penipuan dan penyeludupan manusia dan akan terus bekerja rapat dengan negara-negara lain bagi menangani isu-isu tersebut.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita