Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia rakam ucapan takziah kemangkatan Ratu Elizabeth II

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia rakam ucapan takziah kemangkatan Ratu Elizabeth II

Gambar: Facebook/Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga diraja Britain menyusuli kemangkatan Ratu Elizabeth II pada Khamis (8 Sep).

Menerusi catatan ringkas di laman Facebooknya, Menteri Luar Saifuddin Abdullah turut merakamkan takziah kepada seluruh kerajaan dan rakyat United Kingdom menyusuli pemergian baginda, seperti dinukil BH Online.

"Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga raja, rakyat dan kerajaan United Kingdom susulan kemangkatan Queen Elizabeth II.

"Baginda adalah tokoh yang unggul, selain memimpin dengan penuh dedikasi melalui pemerintahan sepanjang hayat kepada rakyat UK dan Komanwel," kata beliau di Kuala Lumpur pada Jumaat (9 Sep).

Ratu Elizabeth II, pemerintah paling lama bertakhta dalam sejarah negara itu, mangkat pada usia 96 tahun, lapor BH Online.

Istana Buckingham, dalam satu kenyataan ringkas, memaklumkan kemangkatan Ratu Elizabeth, sekali gus menandakan bermulanya tempoh berkabung selama sepuluh hari, ketika seluruh dunia mengucapkan takziah dan mengimbau kembali kegemilangan pemerintahan baginda.

Awal dari itu, para anggota kerabat diraja bergegas untuk berada di sisi Ratu Elizabeth selepas pasukan perubatan bimbang terhadap keadaan kesihatan ratu berusia 96 tahun itu yang dinasihatkan kekal di bawah pemantauan perubatan.
Kemangkatan baginda diumumkan sejurus selepas pihak istana pada Khamis (8 Sep) mengesahkan baginda gering dan doktor amat bimbang terhadap kesihatannya.

Semua anak baginda, Charles, Puteri Anne, 72 tahun, Putera Andrew, 62 tahun, dan Putera Edward, 58 tahun, berkumpul di Istana Balmoral di tanah tinggi Scotland, lapor BH Online.

Menyertai kerabat diraja itu adalah anak Charles, Putera Prince William dan adiknya Putera Harry.

Ratu Elizabeth, dua hari lalu, menyaksikan upacara angkat sumpah Perdana Menteri baru Britain, Liz Truss sebagai Perdana Menteri ke-15 di bawah pemerintahan baginda dan dilihat lemah serta bertongkat, namun masih tersenyum ketika bergambar.
Baginda menaiki takhta pada 8 Februari 1952 pada usia 25 tahun selepas kemangkatan bapanya, Raja George VI, pada 6 Februari 1952.

Baginda mewarisi takhta UK sejurus selepas Perang Dunia Kedua, menyertai pentas dunia yang dikuasai tokoh politik seperti Mao Zedong dari China sehingga pemimpin Kesatuan Soviet, Joseph Stalin dan Presiden Amerika Syarikat, Dwight D Eisenhower.

Sepanjang 70 tahun, baginda bertakhta merentasi dua abad yang penuh pergolakan sosial, politik dan teknologi.

Baginda menyaksikan keruntuhan empayar British yang tersebar luas hampir ke seluruh dunia selain menyaksikan krisis Brexit dan pelbagai skandal membabitkan keluarga diraja menggugat asas kerajaan baginda.

Namun, sepanjang pemerintahannya, Ratu Elizabeth kekal sebagai Ratu yang popular dan bukan saja bertakhta di United Kingdom tetapi turut diiktiraf 14 bekas tanah jajahan British termasuk Australia, Kanada dan New Zealand.

Baginda juga adalah ketua kumpulan 56 negara Komanwel yang merangkumi hampir suku daripada penduduk dunia selain diiktiraf pemerintah agung Gereja England iaitu gereja induk bagi golongan penganut Anglikan di seluruh dunia.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan