Skip to main content

Dunia

M'sia perlu rombak sistem untuk tangani isu bekalan, harga makanan

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia perlu rombak sistem untuk tangani isu bekalan, harga makanan

Gambar Hiasan

Diterbitkan : 13 Jun 2022 09:37AM Dikemas Kini : 13 Jun 2022 09:38AM

SHAH ALAM: Kerajaan Malaysia perlu segera mencari jalan penyelesaian baru dengan merombak sistem atau peraturan sedia ada termasuk daripada segi penguatkuasaan agar isu harga dan kekurangan barangan keperluan utama di pasaran tidak terus berlaku.

Setiausaha Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Dr Zulkifli Abdul Aziz berkata, masalah itu tidak akan berakhir selagi ada pihak yang tidak bertanggungjawab dibiarkan berleluasa tanpa tindakan tegas, seperti dinukil daripada Sinar Harian. 

Ia sekali gus memberi peluang pihak tertentu untuk mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlebihan dengan menjadikan apa jua kelemahan yang terdapat pada sistem atau peraturan sedia ada sebagai jalan untuk mereka mengawal harga.

“Setiap tahun, ada sahaja permasalahan yang berlaku berkaitan harga barangan dan pada masa sama timbul pula kekurangan barangan keperluan.

Rakyat sebenarnya sudah bosan dan akan menganggap kerajaan gagal menyelesaikannya kerana merekalah golongan yang paling terkesan.

“Saya melihat satu pelan tindakan yang lebih berani serta drastik perlu dirangka dan dikuatkuasakan melibatkan rombakan sistem sedia ada.

“Rakyat sudah tidak mahu mendengar lagi masalah kerana kerajaan sering menjanjikan keperluan barangan utama mencukupi dan harga siling pun sudah ditetapkan. Ini termasuk barangan seperti ayam dan minyak masak tetapi kita lihat ada sahaja pihak seperti orang tengah yang sering mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Ahad (12 Jun).

Tambah Dr Zulkifli, apabila barangan keperluan berkurangan di pasaran, secara langsung ia menyebabkan kenaikan harga barangan dan ia seolah-olah menggambarkan orang tengah berjaya mengawal harga barangan keperluan utama, lapor Sinar Harian.

Justeru, sesuatu perlu dilakukan walaupun sudah ada langkah yang dibuat seperti memansuhkan lesen import tetapi rakyat menganggap semua itu belum mencukupi untuk menangani masalah ini.

“Selain penguatkuasaan tegas dan berani, langkah lain yang boleh difikirkan adalah membuka peluang perniagaan yang lebih luas seperti menghasilkan sendiri barangan keluaran tempatan termasuk penyediaan makanan untuk haiwan ternakan, kata Dr Zulkifli kepada Sinar Harian. 

“Kita ada universiti yang pakar dalam kajian menghasilkan makanan ternakan dan sebagainya, kita ada badan bukan kerajaan dan persatuan pengguna yang sedia membantu kerajaan.

Jika semua ini digembleng saya yakin ia akan dapat menyelesaikan isu harga barangan keperluan serta yang berkaitan dengannya,” ujarnya.

Dr Zulkifli menambah, isu harga barangan tidak akan selesai selagi permasalahan di peringkat akar umbi tidak diselesaikan terlebih dahulu. 

Beliau yakin bahawa kerajaan sudah melakukan yang terbaik selama ini namun dalam situasi tertentu, usaha perlu dilipatgandakan supaya rakyat tidak terus terkesan. 

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita