Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia negara paling selamat untuk bersara di Asia, lapor Nasdaq

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Malaysia dianggap sebagai tempat persaraan terbaik di Asia setelah disenaraikan di tempat pertama dalam 10 tempat paling selamat untuk bersara di rantau ini dengan perbelanjaan kurang AS$2,000 (S$2,600) sebulan.

Demikian menurut syarikat khidmat kewangan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Nasdaq.

Menurut Nasdaq, dalam artikel di bahagian GoBankingRates baru-baru ini, untuk menyenaraikan negara-negara tersebut, ia memperoleh data daripada Kumpulan Rantau Asia Pasifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) WorldPopulationReview.

Ia juga memperoleh angka kos sara hidup daripada Numbeo, dan Indeks Keamanan Global daripada Laporan Indeks Keamanan Global Institut Ekonomi dan Keamanan 2022.

Nasdaq juga menetapkan bahawa negara-negara itu perlu mempunyai indeks keamanan global di bawah 2.0 untuk melayakkannya disenaraikan.

Mendahului senarai itu ialah Malaysia dengan indeks keamanan global 1.471 dan purata kos sara hidup bulanan AS$1,066 (S$1,408).

“Malaysia di tempat pertama dengan indeks kos sara hidup 22.9, dan GDP AS$481.9 trilion (S$637 trilion). Dengan purata perbelanjaan bulanan lebih AS$1,000 (S$1,320), ia adalah tempat yang sangat baik untuk dipertimbangkan oleh pesara," menurutnya.

Kuwait menduduki tempat kedua dengan indeks keamanan global 1.739 dan purata kos sara hidup bulanan sebanyak AS$1,741 (S$2,300).

Menurut Nasdaq, indeks kos sara hidup Kuwait tidak serendah beberapa negara lain dalam senarai itu, iaitu 37.4. Tetapi kos sara hidup keseluruhan digabungkan dengan skor indeks keamanan global menjadikannya tempat yang baik untuk bersara.

Di tempat ketiga ialah Mongolia dengan indeks keamanan global 1.775 dan purata kos sara hidup bulanan AS$940 (S$1,240), dan menurut Nasdaq.

Indeks kos sara hidup Mongolia terikat pada yang terendah dalam senarai dengan Indonesia, iaitu 20.2, namun GDPnya adalah terendah dalam senarai itu, pada AS$21 trilion (S$28 trilion).

Vietnam di kedudukan keempat dengan indeks keamanan global pada 1.786 dan purata kos sara hidup bulanan sebanyak AS$1,117 (S$1,480), diikuti Indonesia dengan indeks keamanan global sebanyak 1.800 dan purata kos sara hidup bulanan sebanyak AS$940 (S$1,240), serta Jordan dengan indeks keamanan global sebanyak 1.849 dan purata kos sara hidup bulanan sebanyak AS$1,331 (S$1760).

Kemboja disenaraikan di tempat ketujuh dengan indeks keamanan global 1.882 dan purata kos sara hidup bulanan AS$1,387 (S$1,830) diikuti Oman dengan indeks keamanan global 1.889 dan purata kos sara hidup bulanan AS$1,513 (S$2,000).

Disenaraikan di tempat kesembilan ialah Cyprus dengan indeks keamanan global 1.903 dan purata kos sara hidup bulanan sebanyak AS$1,964 (S$2,600).

Terakhir dalam senarai itu ialah Nepal dengan indeks keamanan global 1.947 dan purata kos sara hidup bulanan sebanyak AS$684 (S$900).
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan