Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia mansuhkan kawalan harga siling ayam, telur berkuat kuasa 1 Jul

Kawalan harga siling ayam dan telur ayam serta subsidi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol dua, tiga dan lima kilogram (kg) tidak diteruskan di Malaysia mulai 1 Julai ini.

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Kawalan harga siling ayam dan telur ayam serta subsidi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol dua, tiga dan lima kilogram (kg) tidak diteruskan di Malaysia mulai 1 Julai ini.

Demikian diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi pada Selasa (21 Jun).

Dalam sidang media selepas mempengerusikan sesi libat urus dengan pemegang taruh industri ayam di Putrajaya semalam, Encik Nanta berkata langkah itu dilaksanakan untuk memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran lebih stabil dan dalam jangka masa panjang pula dapat menstabilkan harga.

“Harga ayam akan diapungkan dan akan tertakluk kepada kuasa pasaran. Golongan memerlukan akan dibantu nanti dengan bantuan wang tunai bersasar,” katanya sambil menambah maklumat lanjut mengenai bantuan wang bersasar itu akan dibuat Kementerian Kewangan.

Pada masa ini, kerajaan menetapkan harga maksimum runcit ayam dan telur untuk Semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard adalah pada RM8.90 sekilogram (S$2.80) dan ayam bulat super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) pada RM9.90 sekilogram (S$3.00).

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata berkuat kuasa 1 Julai, Putrajaya tidak lagi akan memberikan subsidi kepada penternak ayam. Berikutan penamatan subsidi itu, pihak penternak dilaporkan berharap kerajaan mengapungkan harga ayam.

Encik Nanta dalam sidang media itu memaklumkan bahawa subsidi minyak masak, dalam bungkusan polibeg satu kilogram dan ditawarkan kepada pengguna pada harga RM2.50 sepaket (S$0.80), masih diteruskan.

Mengenai pemansuhan subsidi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol pula, beliau berkata subsidi barangan tersebut mencecah RM20 juta sebulan (S$6.2 juta).

“Program ini adalah program sementara dan sepatutnya dilaksnakan dalam masa tiga bulan tetapi ia diteruskan hingga hari ini.

“Oleh itu, kerajaan rasakan sudah tiba masanya ia dimansuhkan supaya kerajaan boleh lebih fokus untuk bantu golongan memerlukan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini menetapkan harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol berkuat kuasa 1 Ogos tahun lalu, dengan jaminan pengguna akan mendapat minyak masak di bawah harga RM30 (S$9.40) untuk botol lima kilogram.

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit dalam kemasan botol lima kilogram adalah pada harga RM29.70 sebotol (S$9.30), RM6.70 (S$2.10)untuk botol satu kilogram, RM12.70 (S$4.000 untuk dua kilogram dan RM18.70 (S$6.00) bagi tiga kilogram.

Dalam sesi libat urus pada Selasa, Encik Nanta berkata pemain industri ayam memberi jaminan yang kenaikan harga ayam tidak akan naik secara mendadak.

“Yang menarik untuk diterima adalah komitmen industri ini untuk bantu kerajaan dalam memastikan pengguna mendapat harga dan bekalan keperluan khususnya ayam, dengan harga berpatutan dan stabil,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa KPDNHEP akan mengambil tindakan mengikut peraturan sedia ada sekiranya terdapat pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan secara berlebihan.

“KPDNHEP akan gunakan akta anti pencatutan dan tidak teragak-agak mengenakan tindakan terhadap pemain industri jika langgar peraturan sedia ada,” tegas beliau.

Ketika ditanya adakah subsidi tepung akan dimansuhkan, beliau berkata subsidi barangan itu masih diteruskan ketika ini dan ia tidak dimansuhkan.
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan