Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia larang eksport ayam: Apa perlu anda tahu

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia larang eksport ayam: Apa perlu anda tahu

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 25 May 2022 07:49PM Dikemas Kini : 25 May 2022 07:51PM
SINGAPURA: Malaysia mengumumkan pada 23 Mei bahawa ia akan mengekang eksport ayam mulai Jun 1 untuk memastikan bekalan yang cukup dalam pasaran domestik.

"Keutamaan kerajaan adalah rakyat kita," kata Perdana Menteri Ismail Sabri dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa pihak berkuasa juga akan menjalankan siasatan mengenai dakwaan harga kartel.

Berikut adalah beberapa perkara yang anda perlu tahu tentang sekatan eksport Malaysia dan potensi kesannya:

Soalan: Mengapa Malaysia menyekat eksport ayam?

Jawapan: Para pelanggan Malaysia sudah mengadu tentang kenaikan harga ayam di tengah-tengah kekurangan bekalan, dengan beberapa peruncit terpaksa mencatu jualan mereka.

Menurut para peniaga utama dalam perusahaan ayam, faktor-faktor yang menjejas bekalan termasuk kenaikan kos pengeluaran ayam, jangkitan penyakit dan keadaan cuaca.

Isu-isu itu dibangkitkan dalam mesyuarat bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan Malaysia pada 23 Mei.

Seorang petani di Johor memberitahu Mediacorp bahawa satu isu yang menjejas bekalan ialah kenaikan kos makanan ayam ternakan, yang dilaporkan meningkat seganda sejak bulan lalu.

Soalan: Apa lagi yang dilakukan Malaysia untuk menangani isu tersebut?

Jawapan: Selain daripada mengekang eksport sebanyak 3.6 juta ayam sebulan mulai Jun, Malaysia menyatakan ia akan mengadakan penimbal bekalan ayam dan mengoptimumkan kemudahan menyimpan barangan sejuk sedia ada di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan agensi.

Pihak berkuasa juga akan memudahkan proses tuntutan subsidi bagi pengeluar ayam dan mengiktiraf pusat penyembelihan di luar negara untuk membantu meningkatkan pengeluaran bekalan ayam negara.

Permit yang diluluskan untuk mengimport ayam seekor dan yang sudah dipotong turut dimansuhkan, iaitu satu langkah yang bertujuan untuk meningkatkan bekalan makanan.

Perdana menteri itu berkata kerajaan sedar tentang dakwaan bahawa kartel sedang mengawal harga dan bekalan, sambil menambah bahawa pihak berkuasa akan menyiasat dakwaan itu.

Soalan: Berapa lama sekatan eksport itu akan berlarutan?

Jawapan: Tiada tarikh yang ditetapkan untuk menyambung semula eksport itu, dengan Malaysia hanya menyatakan sekatan tersebut akan berterusan sehingga harga domestik dan pengeluaran kembali stabil.

Situasi bekalan itu sudahpun berlaku sejak awal tahun ini, kata Encik Ameer Ali Mydin, pengarah urusan rangkaian pasar raya besar dan kedai runcit Mydin di Malaysia.

Dia memberitahu Mediacorp bahawa tempahan mingguan - yang biasanya berjumlah kira-kira 100 tan untuk semua cawangan - sudah jatuh kepada 40 tan.

Para peruncit yang lebih kecil juga melaporkan menerima jumlah lebih kecil bekalan.

Soalan: Bagaimana ia menjejas para pelanggan di Singapura?

Jawapan: Singapura mengimport kira-kira 34 peratus ayam dari Malaysia, di mana hampir kesemuanya dibawa masuk hidup-hidup dan kemudian disembelih dan disejukkan di dalam negara.

"Pengumuman yang mendadak oleh Malaysia berkemungkinan akan memberi kesan buruk terhadap harga ayam dan produk-produk berkaitan di Singapura," kata presiden Persatuan Pengguna Singapura (CASE) Melvin Yong.

Beberapa pegerai pasar basah berkata mereka mungkin terpaksa tutup kedai buat sementara waktu, sambil menambah bahawa sekatan eksport boleh menaikan lagi harga ayam, menyebabkan para pelanggan tidak mahu membelinya.

Para pengimport ayam di Singapura juga sudah menyuarakan kebimbangan mengenai peralihan kepada sumber alternatif dalam masa yang singkat.

Walaupun mungkin terdapat gangguan buat sementara waktu pada bekalan ayam yang sudah disejukkan, Agensi Makanan Singapura (SFA) menyatakan ayam beku masih sedia ada.

Ia menggesa para pembeli supaya mempertimbangkan pilihan itu serta sumber-sumber produk daging lain.
Soalan: Dari mana lagi Singapura import ayam?

Jawapan: Menurut SFA, Singapura mengimport 214,400 tan ayam pada 2021.

Hampir separuh daripada ayam import itu berasal dari Brazil. Amerika Syarikat menyumbang lapan peratus daripada import tersebut, manakala negara dan rantau lain menyumbang 10 peratus.

Singapura juga mengimport 52 peratus daripada bekalan telur dari Malaysia pada 2021. Lagi 30 peratus dihasilkan dalam negara, manakala Poland menyediakan sembilan peratus.

Sebanyak 10 peratus diimport dari negara dan rantau lain.
Sumber : CNA/KF/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan