Skip to main content

Dunia

M'sia lanjutkan subsidi untuk stabilkan harga, elak inflasi tinggi

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia sanggup menanggung subsidi dalam jumlah besar iaitu sehingga RM77.3 bilion (S$24.4 bilion) yang diunjurkan tahun ini bagi menstabilkan harga barang serta mengelakkan kadar inflasi di negara itu daripada melonjak sehingga 11.4 peratus, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kerajaan mempunyai pilihan untuk menghapuskan subsidi dan mengukuhkan kewangan negara pada paras lebih baik namun memilih untuk terus menanggung subsidi demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Kata beliau, pengumuman Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob tentang tiada kenaikan tarif air dan elektrik serta harga ayam tidak diapungkan pada 24 Jun lepas, menunjukkan keprihatinan dan komitmen kerajaan untuk mengekalkan subsidi.
Merujuk kepada unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan berjumlah RM77.3 bilion (S$24.4 bilion) bagi 2022, beliau berkata RM51 bilion (S$16.1 bilion) daripadanya meliputi komponen terbesar bagi perbelanjaan subsidi bahan api, minyak masak, elektrik, air, ayam dan telur menyaksikan kerajaan memainkan peranan penting dalam menstabilkan harga barangan di pasaran.

“Tanpa subsidi ini (RM51 bilion) maka inflasi 2.8 peratus pada Mei 2022 mungkin menjadi 11.4 peratus. Ini menggambarkan peranan dimainkan subsidi yang diberikan kerajaan dalam menstabilkan harga di negara kita,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Statistics Data Warehouse 2.0 (StatsDW) di Putrajaya pada Isnin (27 Jun).

Menteri Kewangan, Zafrul Tengku Aziz pada 25 Jun berkata angka RM77.3 bilion (S$24.4 bilion) meliputi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) (RM37.3 bilion)(S$11.7 bilion); minyak masak (RM4 bilion)(S$1.2 bilion); tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, serta bil subsidi (RM9.7 bilion) (S$3 bilion), serta ditambah dengan bantuan lain seperti Bantuan Kebajikan Masyarakat termasuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) (RM11.7 bilion) (S$3.6 bilion) dan lain-lain subsidi (RM14.6 bilion)(S$4.6 bilion).

"Tanpa subsidi sudah pasti kedudukan kewangan kerajaan akan bertambah baik tetapi kerajaan mengambil kira keperluan rakyat jadi kerajaan berbelanja (subsidi) untuk kesejahteraan rakyat dan untuk membantu meringankan beban rakyat," kata Encik Mustapa.

Encik Mustapa tidak menolak kemungkinan pemberian subsidi terbesar itu akan memberi kesan kepada defisit fiskal negara, dan kerajaan perlu melihat kepada langkah penjimatan.

“Sudah pasti (subsidi) akan beri tekanan kepada perbelanjaan negara, jadi kerajaan perlu melihat kepada langkah penjimatan iaitu berkaitan dengan perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan bagi memastikan kedudukan kewangan kerajaan kekal kukuh,” kata beliau.

Ditanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan untuk menangguhkan pelaksanaan projek mega bagi menjimatkan perbelanjaan, Encik Mustapa berkata biarpun tiada keputusan muktamad mengenainya namun menekankan mengenai langkah penjimatan dilaksanakan susulan krisis global ketika ini.

“Kerajaan belum putuskan lagi sama ada untuk menangguh pelaksanaan projek mega memandangkan keadaan agak dinamik dan berubah dari semasa ke semasa,” kata beliau merujuk kepada harga minyak dunia yang tinggi dan krisis geopolitik Ukraine-Rusia tidak menentu.

Perbelanjaan mengurus ialah perbelanjaan semasa atau perbelanjaan berulang kerajaan bagi membiayai pengurusan dan pentadbiran negara manakala perbelanjaan pembangunan ialah perbelanjaan yang dilibatkan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan sosial negara seperti pembinaan sekolah dan infrastruktur.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita