Skip to main content

Dunia

M'sia kutuk serangan tentera Israel terhadap jemaah di Masjid Al-Aqsa

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia kutuk serangan tentera Israel terhadap jemaah di Masjid Al-Aqsa

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 06 Apr 2023 01:44PM
PUTRAJAYA: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaru tentera rejim Israel terhadap jemaah dan pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa pada Rabu (5 Apr).

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Khamis (6 Apr), tindakan tentera Israel itu menyalahi undang-undang dan mencabuli hak asasi manusia Palestin serta kesucian masjid itu.

"Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), supaya rejim Israel bertanggungjawab ke atas jenayah keji itu dan mereka segera membebaskan semua tahanan Palestin," menurut kenyataan itu.

Sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin cedera dan ratusan yang lain telah ditahan.

Masyarakat antarabangsa mesti menuntut rejim Israel untuk segera menghentikan sebarang tindakan provokatif demi keamanan dan kestabilan.

"Malaysia teguh berdiri dan bersolidariti dengan rakyat Palestin serta mengulangi status Al-Quds Al-Sharif sebagai tapak Suci Umat Islam," menurut kenyataan itu.

Malaysia juga berpegang teguh dengan pendiriannya selama ini bahawa rakyat Palestin berhak mendapatkan sebuah negara yang merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu negara.

Tentera Israel pada Rabu menyerbu kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki untuk malam kedua berturut-turut dan menyerang jemaah Palestin.

Menurut laporan media, tentera Israel menyerbu Dewan Solat Al-Qibli selepas solat tarawih, melepaskan bom tangan dan memukul jemaah Palestin.

Sebelum ini, pada awal Rabu, polis Israel menyerang penduduk Palestin di dalam dewan solat dan menahan kira-kira 350 jemaah.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita