Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia kutuk sekeras-kerasnya kenyataan menghina Nabi Muhammad

Anggaran Waktu Membaca:

PUTRAJAYA: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW oleh dua ahli politik India.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Selasa (7 Jun), kementerian sudahpun memanggil Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia petang ini dan menyampaikan penyangkalan sepenuhnya terhadap kenyataan itu. 

“Malaysia mengalu-alukan keputusan parti pemerintah India untuk menggantung ahli parti terbabit berikutan kenyataan provokasi mereka yang telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam,” menurut kenyataan itu.

Malaysia turut menyeru India untuk bekerjasama dalam menamatkan Islamofobia dan menghentikan sebarang tindakan provokasi demi keamanan dan kestabilan sejagat.

Malaysia adalah antara negara terkini yang bersama mengutuk tindakan dua pegawai parti Bharatiya Janata (BJP) yang mengeluarkan komen berbaur penghinaan yang mencetuskan kemarahan banyak negara Islam.

Kementerian Luar Amiriah Arab Bersatu (UAE) dalam satu kenyataan "mengecam dan membantah komen yang disifatkan menghina Nabi Muhammad SAW". 

Oman, Indonesia, Jordan, Iraq, Maldives, Bahrain dan Turki adalah antara negara yang turut mengecam kenyataan itu. 

"Indonesia mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW oleh dua ahli politik India. Bantahan itu telah dimaklumkan kepada Duta India di Jakarta,” menurut Kementerian Hal Ehwal Luar Indonesia.

BJP sudahpun menggantung dua pemimpin parti itu yang didakwa mengeluarkan komen berbaur hasutan.

Qatar pula meminta pemerintah India mengemukakan permohonan maaf.

Jawatankuasa Wakaf dan Parlimen Iraq dalam satu kenyataan menyatakan komen berbaur anti-Islam "boleh memberikan kesan serius dan jika tidak dibendung ia boleh membawa kepada akibat buruk, serta mencetuskan sengketa dan ketegangan”.

Kuwait, Qatar, Iran, Arab Saudi dan Pakistan adalah antara negara terawal membuat bantahan secara rasmi terhadap provokasi itu.

Sementara itu, Universiti Islam tertua, Al-Azhar menyatakan, komen menghina yang dtuturkan menyerlahkan kejahilan mengenai Islam, sejarah dan kehidupan Nabi Muhammad SAW dan para rasulnya.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pula menyifatkan tindakan pemimpin BJP itu sebagai sebahagian daripada Islamofobia.

Di Turki, jurucakap Parti Keadilan dan Pembangunan (AK Party) Ömer Çelik menyifatkan kenyataan itu sebagai penghinaan kepada semua umat Islam.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan