Skip to main content

Dunia

M'sia kutuk keras serangan udara Israel di Gaza

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia kutuk keras serangan udara Israel di Gaza

Asap keluar dari bangunan di Gaza akibat serangan udara Israel pada 11 Mei 2023. (Gambar: Mahmud Hams/AFP)

PUTRAJAYA: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara yang dilakukan  Israel ke atas bangunan kediaman dan kawasan lain di Gaza sejak 9 Mei lalu, yang telah meragut sekurang-kurangnya 27 nyawa rakyat Palestin dan mencederakan lebih 70 orang awam.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) pada Khamis (11 Mei), serangan terbaru oleh  Israel itu tidak menitikberatkan dan menghormati hak asasi manusia antarabangsa serta undang-undang kemanusiaan.

“Masyarakat antarabangsa perlu bertindak serentak untuk menamatkan penganiayaan selama beberapa dekad terhadap rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.

Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa mengecam dengan tegas tindakan rejim Israel kerana berterusan melakukan penindasan tidak berperikemanusiaan dan jenayah aparteid yang mengerikan terhadap rakyat Palestin.

Menurut kenyataan itu, Malaysia turut menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mendesak Israel bertanggungjawab atas semua pelanggaran dan kekejamannya.

“Malaysia berpegang teguh dengan pendirian bahawa rakyat Palestin berhak memiliki negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota,” menurut Wisma Putra.

Menurut laporan media, tiga komander kanan tentera kumpulan Islamic Jihad, isteri dan anak mereka antara yang terkorban dalam serangan udara Israel di Carikan Gaza sejak Selasa (9 Mei). 

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita