Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia kecualikan bayaran tol semua jenis kenderaan di Tambak Johor & Linkedua dari 1-7 Apr

Kerajaan Malaysia bersetuju memberikan pengecualian bayaran tol selama tujuh hari melibatkan semua jenis kenderaan di sempadan Malaysia-Singapura sempena pembukaan semula laluan darat kedua-dua negara bermula Jumaat ini (1 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Mar 2022 04:27PM Dikemas Kini : 30 Mar 2022 08:54PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia bersetuju memberikan pengecualian bayaran tol selama tujuh hari melibatkan semua jenis kenderaan di sempadan Malaysia-Singapura sempena pembukaan semula laluan darat kedua-dua negara bermula Jumaat ini (1 Apr).

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata pengecualian itu melibatkan plaza tol Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) serta Tanjung Kupang (Lebuh Raya Linkedua) di Johor.

“Ia adalah selaras dengan pendekatan untuk memudah cara perjalanan rentas sempadan dengan Singapura. Pengecualian ini adalah untuk rakyat Malaysia dan pengguna menambah nilai atau memperbaharui ‘Touch and Go’ dan ‘Smart Tag’,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini (30 Mac).

Encik Ismail Sabri berkata keputusan memberikan pengecualian bayaran tol melibatkan perjalanan masuk dan keluar menerusi kedua-dua plaza itu bagi memastikan kelancaran lalu lintas berikutan pembukaan sempadan laluan darat yang ditutup sejak dua tahun lalu akibat pandemik COVID-19.

“Pengecualian ini adalah tambahan kepada pengecualian Caj Jalan (CJ) yang dikenakan kepada kenderaan persendirian pendaftaran Singapura apabila memasuki Malaysia melalui laluan darat di kedua-dua lokasi,” katanya.

Encik Ismail Sabri berkata sempena pembukaan semula sempadan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menganggarkan sekurang-kurangnya 42,000 kenderaan akan memasuki Malaysia menerusi Tambak Johor dan Linkedua setiap hari.

“Keputusan pelepasan tol ini akan memanfaatkan lebih 300,000 perjalanan rentas sempadan Malaysia-Singapura bagi pemilik-pemilik kenderaan,” kata beliau.

Perdana Menteri itu menambah, bagi memastikan perjalanan lancar, PLUS dengan kerjasama kerajaan negeri Johor serta kementerian dan agensi berkaitan juga giat melakukan persiapan akhir termasuk persiapan di plaza-plaza tol, kawasan rehat dan semua kemudahan awam yang disediakan di lebuh raya PLUS.

“Kerajaan mengalu-alukan kepulangan rakyat Malaysia di Singapura dan ketibaan rakyat Singapura ke Malaysia dengan pembukaan semula sempadan negara ini,” ungkapnya.

Encik Ismail Sabri menambah bermula 1 April juga, semua pelawat yang lengkap divaksin dibenar merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19 termasuk ujian prapelepasan serta semasa ketibaan.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan