Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia ingin perluas kerjasama awam-swasta bagi maksimumkan kapasiti jagaan kesihatan

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Kerjasama Awam-Swasta (PPP) dalam sektor penjagaan kesihatan perlu diperluas dan dipertingkatkan bagi memaksimumkan seluruh kapasiti penjagaan kesihatan sedia ada di Malaysia dengan berkesan dan merapatkan jurang dalam perkhidmatan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali berkata kerjasama erat antara kedua-dua sektor mampu menambah pilihan rawatan untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana sekali gus memastikan kesinambungan penjagaan khususnya bagi pesakit menghidap penyakit kronik.

“Pandemik (COVID-19) yang berlaku sejak dua tahun lepas merupakan peringatan untuk semua pihak termasuk sektor penjagaan kesihatan. Ini merupakan peluang untuk kita semua menyedari jurang yang perlu ditangani dan bekerjasama ke arah matlamat bersama bagi memperkukuh sistem penjagaan kesihatan Malaysia,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Penjagaan Kesihatan KPJ 2022 bertemakan Pandemic: Now and What Next? di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Jumaat (15 Jul).

Dr Noor Azmi berkata sektor awam dan swasta masih belum disepadukan secara sempurna dengan sektor awam menampung dua pertiga daripada kes pesakit luar dan pesakit yang dimasukkan ke wad namun 75 peratus pakar di Malaysia berada dalam sektor swasta.

Beliau berkata sumber, beban kerja dan data tidak mudah dikongsi antara kedua-dua pihak menyebabkan kelewatan diagnosis dan rawatan, pengulangan siasatan yang tidak perlu dan kos bertambah.

“Bagaimanapun, pada kebanyakan masa yang tidak dijangkakan dan dalam keadaan kecemasan, sektor awam dan awam saling bekerjasama. Kerajaan memperoleh perkhidmatan untuk vaksinasi dan menyerahkan kes bukan COVID-19 dengan memindahkan sementara pesakit ke hospital swasta. Malah hari ini, kami sudah meneruskan pendekatan ini untuk mengurangkan sejumlah tunggakan kes yang dialami sektor awam,” kata beliau.

Beliau berkata kerajaan sudah memperuntukkan lebih RM250 juta (S$ 78 juta) untuk tempoh tiga tahun mulai 2020 hingga tahun ini untuk program pemindahan pesakit dengan penyedia penjagaan kesihatan swasta.

Dr Noor Azmi turut memperakui bantuan yang diberikan KPJ Healthcare sepanjang penularan wabak dalam bidang vaksinasi, pemindahan pesakit serta sumbangan peralatan perubatan.

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata pandemik COVID-19 yang belum pernah berlaku memberi peluang untuk menghimpunkan dan memanfaatkan kepakaran masing-masing dalam bekerjasama ke arah matlamat memperkukuh sistem penjagaan kesihatan Malaysia.

Beliau berkata pengguna mengharapkan para pemimpin industri memanfaatkan momentum yang wujud semasa pandemik COVID-19 untuk terus memacu industri penjagaan kesihatan.

“Bagi KPJ, ini juga bermakna meningkatkan usaha pendigitalan, memastikan kami mengekalkan penjagaan dan perkhidmatan berkualiti kepada semua pesakit kami di seluruh rangkaian hospital kami dan lebih penting, kekal cekap dengan keupayaan untuk berubah bagi memenuhi keperluan yang semakin berkembang,” katanya.

Persidangan berkenaan merupakan acara tahunan kali ke-23 KPJ dan diadakan secara fizikal buat kali pertama sejak pandemik COVID-19 melanda.

Lebih 500 peserta dijangka menghadiri persidangan dua hari itu yang mengetengahkan isu berkaitan penjagaan meliputi pengajaran daripada pandemik, digitalisasi, transformasi dan teknologi serta trend dan isu genting dalam pengurusan penjagaan kesihatan dan keselamatan pesakit.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan