Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia, Indonesia sepakat adakan misi ke Kesatuan Eropah bagi tentang 'diskriminasi' terhadap minyak sawit

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia, Indonesia sepakat adakan misi ke Kesatuan Eropah bagi tentang 'diskriminasi' terhadap minyak sawit

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto (kiri) dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Fadillah Yusof di sidang media di Jakarta pada 9 Feb 2023. (Gambar: CNA/Danang Wisanggeni)

JAKARTA: Malaysia akan mengatur strategi dalam merangka misi bersama Indonesia ke Kesatuan Eropah (EU) untuk mengetahui dan memberi maklum balas terhadap perkembangan dasar semasa blok itu terhadap minyak sawit, kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata misi itu juga akan mengemukakan fakta saintifik, kepentingan ekonomi dalam konteks sosial dan amalan perladangan yang diterap di kedua-dua negara.

"Kami akan bawa bersama wakil-wakil pekebun kecil untuk menyuarakan pandangan," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat dua hala bersama Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto.

Malaysia telah mengambil alih jawatan sebagai pengerusi Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) pada 2023 dari Indonesia.

Encik Fadillah berkata Malaysia dan Indonesia juga sepakat untuk terus komited menjaga alam sekitar termasuk penebangan hutan secara mampan untuk membuka ladang dalam membangunkan ekonomi.

"Kami sentiasa berusaha mematuhi peraturan terhadap industri sawit, tetapi peraturan tersebut perlu adil dan saksama serta memahami keadaan di kedua-dua negara yang berusaha membantu pekebun kecil keluar dari garis kemiskinan," katanya.

Mengenai pekebun kecil yang merupakan tulang belakang industri sawit, beliau berkata CPOPC perlu membantu mereka mematuhi peraturan perladangan dan meningkatkan yield tanaman dengan sokongan kerajaan dan agensi serta sektor korporat.

Kawasan penanaman pekebun kecil membentuk kira-kira 27 peratus daripada kawasan penanaman di Malaysia, dan kira-kira 40 peratus di Indonesia, katanya.

Encik Fadillah berkata CPOPC juga akan berhubung agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya standard pensijilan minyak sawit MSPO (Malaysian Sustainable Palm Oil) dan ISPO (Indonesia Sustainable Palm Oil) diiktiraf bukan sahaja EU tetapi global.

MSPO yang diperkenalkan pada 2013 telah dikaji oleh kedua-dua pihak berkepentingan tempatan dan antarabangsa melalui perundingan awam dan semakan semula piawaian skim pensijilan itu yang dilancarkan pada 2022.

ISPO ialah skim pensijilan kemampanan nasional Indonesia untuk minyak sawit dan diperkenalkan pada 2011.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan