Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia, Indonesia akan bertemu kepimpinan EU bincang pelaksanaan peraturan tebang hutan

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia, Indonesia akan bertemu kepimpinan EU bincang pelaksanaan peraturan tebang hutan

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia Fadillah Yusof. (Gambar: Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dan pemerintah Indonesia akan mengadakan pertemuan serta sesi libat urus dengan barisan kepimpinan tertinggi Kesatuan Eropah (EU), mengenai pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), semasa misi bersama di bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Sawit (CPOPC).

Misi bersama ke ibu pejabat EU di Brussels, Belgium, itu yang bermula 28 Mei hingga 4 Jun 2023, diketuai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia Fadillah Yusof bersama-sama dengan Menteri Penyelaras Bidang Perekonomian Indonesia, Dr Airlangga Hartarto.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) Malaysia dalam satu kenyataan pada Sabtu (27 Mei) menyatakan misi itu merupakan tindak balas berikutan pengumuman pelaksanaan EUDR oleh EU pada 6 Disember 2022, yang bertujuan menghalang penebangan hutan oleh kegiatan pertanian di seluruh dunia.

Kedua-dua menteri itu dijangka mengadakan pelbagai pertemuan serta sesi libat urus dengan negara anggota CPOPC mengenai pelaksanaan EUDR yang bukan sahaja menindas sektor agrikomoditi secara amnya dan industri sawit secara khususnya, malahan menjejaskan mata pencarian jutaan pekebun kecil.

Menurut kementerian itu, EUDR dianggap sebagai suatu kawalan bukan tarif yang boleh memberi kesan negatif terhadap perdagangan bebas dan adil. Ini khususnya apabila ia lebih disasarkan kepada produk agrikomoditi tropika dari negara membangun yang boleh menjejaskan rantaian bekalan global.

“Sebagai salah sebuah negara anggota CPOPC, Malaysia komited untuk terlibat secara aktif dalam platform bersama ini di peringkat global untuk meneruskan agenda memerangi kempen negatif pihak Barat ke atas minyak sawit.

“Sesi libat urus dengan EU bagi mencapai hasil yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara pengeluar dan pengguna sawit akan dipergiatkan,” nyata kementerian itu.

Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk memulakan misi bersama itu semasa satu pertemuan di Jakarta, Indonesia, pada 9 Februari lalu. Ketika itu, Encik Fadillah dan Encik Airlangga bersetuju untuk terus menjaga kepentingan sektor sawit menerusi pengukuhan usaha menangani diskriminasi terhadap minyak sawit.

Sementara itu, KPK menyatakan United Kingdom (UK) merupakan rakan perdagangan ke-23 paling penting kepada Malaysia.

Ketika ini, UK masih dalam proses rundingan untuk menjadi negara anggota Perjanjian Menyeluruh dan Progresif Bagi Perkongsian Rentas Pasifik (CPTPP).

“Justeru, adalah penting bagi sektor agrikomoditi Malaysia untuk memperkukuhkan lagi hubungan dagangan dengan UK melalui Jawatankuasa Bersama Bagi Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan Dua Hala Antara Malaysia dan United Kingdom (MUKJC) dan Dialog Perdagangan Hutan, Pertanian dan Komoditi (FACT).

“Dialog FACT merupakan platform dialog antara negara pengeluar dan negara pengguna untuk menjadikan perdagangan agrikomoditi global lebih mampan,” menurut kementeria tersebut.

Bagi lawatan rasmi beliau di London, Encik Fadillah juga akan mengadakan pertemuan dengan beberapa menteri yang berkaitan dengan sektor agrikomoditi di UK dan menteri-menteri lain.

Beliau juga akan menyampaikan ucaptama di Forum Minyak Sawit Mampan Antarabangsa (ISPOF), anjuran KSI Strategic Institute for Asia Pacific (KSI) dan Malaysia-Link UK. Beliau juga akan membuat lawatan kerja ke Tun Abdul Razak Research Centre (TARRC), yang merupakan salah satu pusat penyelidikan dan pembangunan getah utama dunia.

“KPK berharap kedua-dua misi ini akan mencapai hasrat negara untuk menyampaikan maklumat yang tepat secara langsung kepada pihak berkepentingan, bertujuan bagi menangkis tanggapan negatif dan sebarang usaha untuk memberi tekanan terhadap sektor agrikomoditi dan perhutanan di Malaysia,” jelas kementerian itu.
 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan