M'sia iktiraf sijil vaksinasi Vietnam
Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob. (Gambar: BERNAMA)
HANOI: Malaysia bersetuju untuk mengiktiraf sijil vaksinasi Vietnam selepas mengambil kira bahawa negara itu turut menggunakan jenis-jenis vaksin diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi meningkatkan aktiviti pelancongan dalam kerjasama pasca pandemik COVID-19 kedua-dua negara.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata Vietnam membuka sempadan antarabangsanya pada 15 Mac lalu, manakala Malaysia juga membuat keputusan untuk membuka sempadannya kepada kunjungan pelawat antarabangsa bermula 1 April ini.
Beliau berkata dalam lawatan rasminya ke Vietnam, beliau turut mengutarakan beberapa inisiatif kerjasama baru, di samping meningkatkan kerjasama sedia ada ke tahap yang lebih tinggi.
"Pertamanya mengenai pengiktirafan sijil vaksinasi COVID-19 secara timbal balas. Vietnam sudahpun mengiktiraf sijil vaksinasi Malaysia sebelum ini (Ogos 2021) dan semasa pertemuan saya dengan Perdana Menteri Vietnam (Pham Minh Chinh) saya memaklumkan bahawa Malaysia bersetuju untuk mengiktiraf sijil vaksinasi Vietnam," kata beliau.
Bercakap kepada kumpulan media Malaysia di Hanoi selepas mengakhiri lawatan rasmi dua hari di Vietnam semalam, katanya beliau turut mencadangkan supaya kedua-dua negara memuktamadkan proses integrasi aplikasi MySejahtera Malaysia dengan PC COVID Vietnam.
"Jadi dengan integrasi kedua-dua 'apps' ini, ia akan memudahkan perjalanan terutama yang melibatkan pintu masuk kedua-dua negara. Ini bermakna rakyat Vietnam boleh guna apps mereka untuk memasuki negara kita dan kita juga boleh guna MySejahtera di Vietnam.
"Ini akan memudahkan dan pastinya akan menggalakkan pelancongan kedua-dua negara," kata beliau yang menyifatkan lawatan rasmi sulungnya ke negara itu berjaya meningkatkan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang antaranya, ekonomi, pelaburan dan pelancongan.
Mengenai hubungan dua hala, Perdana Menteri berkata dalam usaha meningkatkan Perkongsian Strategik Malaysia-Vietnam, beliau menggariskan pendekatan yang menyeluruh dalam hubungan antara kedua-dua negara, baik di peringkat kerajaan dengan kerajaan, mahupun di peringkat masyarakat perniagaan dan juga hubungan rakyat dengan rakyat.
Beliau berkata semasa pertemuan dan perbincangannya dengan empat pemimpin Vietnam, jelas sekali mereka, seperti Malaysia, sangat komited untuk terus melaksanakan kerjasama yang terangkum dan komprehensif di bawah Pelan Tindakan (POA) 2021-2025 Pelaksanaan Perkongsian Strategik Malaysia- Vietnam.
Katanya pada 2023, Malaysia dan Vietnam akan meraikan Jubli Emas, iaitu ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, sehubungan itu beliau telah mencadangkan supaya kedua-dua negara menganjurkan program-program sesuai sebagai memperingati detik bersejarah itu.
"Saya turut mencadangkan pertukaran lawatan peringkat tertinggi sempena sambutan ulang tahun itu. Ia akan dimulai dengan Lawatan Negara Presiden Vietnam Nguyen Xuan Phuc ke Malaysia dalam tahun ini," katanya dan menambah pendekatan serta cadangan-cadangannya disambut baik oleh pemimpin-pemimpin Vietnam.
Ismail Sabri turut bersyukur dan berasa amat gembira kerana berpeluang mengadakan lawatan rasmi ke Vietnam dan beliau menyifatkan kunjungannya ke negara itu pastinya mampu merapatkan hubungan diplomatik, negara dengan negara dan rakyat dengan rakyat.
Semalam Perdana Menteri dan delegasi Malaysia membuat kunjungan hormat ke atas Phuc di Istana Presiden yang diikuti dengan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam (CPV) Nguyen Phu Trong di ibu pejabat CPV dan juga ke atas Pengerusi Dewan Rakyat Vuong Dinh Hue di Bangunan Dewan Rakyat di Hanoi.
Sebelum itu Perdana Menteri disambut dengan hamparan permaidani merah dan diberikan sambutan rasmi sebaik tiba di pekarangan Istana Presiden dan ketibaan beliau disambut oleh rakan sejawatnya, Chinh.
Dalam semua pertemuan itu Ismail Sabri menggunakan sepenuhnya bahasa kebangsaan yang kemudiannya diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris.
Turut hadir di pertemuan itu ialah Menteri Luar, Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali, Peguam Negara Idrus Harun dan pegawai-pegawai kanan.
Kunjungan sulung Perdana Menteri ke Vietnam adalah atas undangan Chinh dan Ismail Sabri yang tiba pada Ahad, dijadual akan berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada tengah hari ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.