Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia hilang 30 graduan perubatan terbaik Universiti Malaya kepada SG setiap tahun

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia hilang 30 graduan perubatan terbaik Universiti Malaya kepada SG setiap tahun

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 22 Dec 2022 07:48PM Dikemas Kini : 22 Dec 2022 07:49PM
KUALA LUMPUR: Setiap tahun, sekurang-kurangnya 30 graduan perubatan terbaik Universiti Malaya (UM) mencari peluang yang lebih baik untuk meneruskan karier di negara jiran, Singapura.

Bukan sahaja mengakibatkan Malaysia kehilangan perkhidmatan perubatan yang amat diperlukan, malah universiti terkemuka itu juga seolah-olah mengalami kerugian apabila latihan bagi setiap seorang pelajar menelan perbelanjaan hampir RM1 juta (S$305,093).

Bekas Dekan Fakulti Perubatan UM, Dr Adeeba Kamarulzaman mendedahkan, kehilangan kepakaran itu berpunca daripada kekurangan tawaran kerja untuk penempatan serta ketiadaan laluan yang jelas untuk pegawai perubatan meneruskan perkhidmatan, lapor Astro AWANI.

Menerusi hantaran di Twitter, beliau mengulas mengenai masalah beban kerja yang dihadapi oleh pekerja sektor kesihatan di Malaysia.

“Kita akan sentiasa mengalami masalah ini, selagi kita tidak serius dalam menangani isu pekerja petugas perubatan di Malaysia.

“Sebagai langkah pertama, kita boleh mula melihat kepada isu kehilangan tenaga mahir ke luar negara (brain drain) dalam kalangan graduan dan pegawai perubatan,” ujarnya.

Tambah Dr Adeeba, masalah itu bertambah buruk apabila negara bakal menghantar pegawai perubatan (MO) tempatan ke United Kingdom bagi membantu mengatasi masalah kekurangan petugas kesihatan dalam Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) negara itu, lapor Astro AWANI.

“Saya tak menyalahkan langsung pegawai-pegawai perubatan muda. Saya juga akan lari ke mana-mana tempat yang mempunyai peluang.

“Bagaimana kita nak bangunkan sistem kesihatan yang berdaya tahan dan berperingkat global kalau kita terus mengalami ‘brain drain’ secara dalaman dan luaran?”

Baru-baru ini, Gerakan Hartal Doktor Kontrak dilaporkan bakal bertemu Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Zaliha Mustafa bagi membincangkan isu berkaitan pegawai perubatan kontrak serta masalah lain.

Ia susulan mogok besar-besaran di seluruh negara pada Julai 2021 akibat masalah yang dihadapi doktor kontrak untuk dilantik ke jawatan tetap.

Menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), kira-kira 1,000 doktor pakar (specialist) meninggalkan sektor perubatan awam dari 2011 hingga 2017 atas pelbagai sebab.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan