Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia henti hulur subsidi kepada penternak ayam mulai 1 Jul

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Bermula 1 Julai ini, kerajaan Malaysia tidak lagi akan memberi subsidi kepada para penternak ayam. 

Sebaliknya ia akan disalurkan secara langsung kepada rakyat yang dianggap lebih memerlukan, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata langkah itu adalah bagi memastikan beban kenaikan harga ayam tidak terlalu dirasai dengan adanya sumbangan tunai daripada kerajaan.

Encik Ismail Sabri berkata, sebelum ini dalam usaha memastikan harga ayam tidak dinaikkan, kerajaan memberi subsidi kepada penternak agar harga ayam kekal pada paras RM8.90 (S$2.79) sekilogram kerana ia boleh mencecah RM12 (S$3.76) sekilogram, jika harganya diapungkan. 

“Kerajaan belanja RM720 juta (S$225 juta) bagi memastikan harga ayam tidak dinaikkan. Walau bagaimanapun, ramai dalam kalangan penternak tidak menuntut bayaran subsidi dan pelbagai isu dibangkitkan,” katanya ketika berucap di Konvensyen BN bersempena sambutan ulang tahun ke-48 gabungan politik itu di Kuala Lumpur pada Rabu (1 Jun). 

Bagaimanapun, Encik Ismail Sabri berkata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Ronald Kiandee akan memperincikan pengumuman baru itu. 

Beliau berkata kerajaan melaksanakan pelbagai tindakan buat masa ini bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dan harga dapat distabilkan. 

Antaranya menggalakkan kegiatan industri agromakanan seperti pemeliharaan ayam dan tanaman jagung bijirin dengan menubuhkan tabung agromakanan sebanyak RM500 juta (S$156 juta) bagi pemberian pinjaman mudah kepada pemain industri.

“Kita juga akan kenal pasti pertubuhan peladang atau koperasi yang terlibat dalam projek agromakanan untuk dibantu dari segi kewangan.

“Kerajaan juga mewujudkan stok penimbal untuk ayam, daging dan ikan. Kerajaan turut mengkaji insentif cukai yang akan diberikan kepada pemain industri agromakanan,” katanya.

Encik Ismail Sabri berkata kerajaan juga sudahpun menghentikan eskport ayam ke luar negara dalam usaha mengatasi kekurangan bekalan dalam negara. 

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan