M'sia harap percepat usaha sambung semula projek HSR S'pura-KL
Malaysia berharap untuk mempercepatkan usaha meneruskan semula projek Keretapi Kelajuan Tinggi (HSR) bersama Singapura seawal mungkin, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
(Gambar: BERNAMA)
Beliau berkata sekarang ini, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dan rakan sejawatannya dari Singapura, S. Iswaran, meneruskan dengan perbincangan.
Semasa satu temu bual dengan beberapa wakil media asing dan Bernama di Putrajaya pada Isnin (22 Ogos), perdana menteri Malaysia itu berkata usaha meneruskan semula projek tersebut akan melibatkan beberapa perubahan pada syarat dan terma asal.
“Perbincangan masih berjalan. Kalau boleh (nak) lebih cepat sebab dalam masa yang sama, Malaysia juga ada perancangan untuk wujudkan HSR antara Kuala Lumpur dan Bangkok.
“Kalau boleh, kita nak link Bangkok-KL dan KL-Singapura,” katanya.
Beliau menbayangkan jaringan tersebut akan boleh disambung sampai ke China memandangkan China dan Thailand juga dalam proses membina rangkaian kereta api berkelajuan tinggi.
Apabila ditanya sama ada usaha meneruskan semula projek itu adalah keutamaan pentadbiran beliau, Encik Ismail Sabri berkata: “Bukan nak kata ia satu keutamaan, ia lebih kerana perancangan dah ada dah ada, dari mula, dari zaman BN (Barisan Nasional) perancanga dah lengkap, cuma terbatal sekejap”.
Memandangkan kos bahan-bahan mentah yang semakin meningkat, Malaysia mungkin mengkaji untuk mengurangkan saiz stesen bagi mengimbangi kos pembinaan keseluruhan projek itu.
Pada 29 Nov lalu, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dilaporkan berkata republik berkenaan terbuka menerima cadangan baru dari Malaysia berkaitan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura walaupun kedua-dua negara tersebut sebelum ini telahpun bersetuju untuk menamatkan projek itu.
GARIS MASA PROJEK HSR
Malaysia dan Singapura memetarai perjanjian dua hala untuk melaksanakan projek HSR pada 13 Disember 2016. Projek sepanjang 350 kilometer yang dijadualkan siap pada 2026 itu dijangka memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar raya kepada 90 minit.
Bagaimanapun, pembinaan projek itu ditangguhkan pada September 2018 dan pada 31 Mei 2020. Kedua-dua kerajaan Malaysia dan pemerintah Singapura bersetuju untuk menangguhkan pembangunan projek dua hala bernilai RM110 bilion (S$34 bilion) itu sehingga 31 Disember 2020.
Pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan bersama penamatan projek HSR apabila kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan bagi perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.
Pada Mac 2021, Malaysia mengumumkan ia membayar S$102.8 juta kepada Singapura bagi kos yang ditanggung untuk pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penangguhannya.
Dalam hal lain, Perdana Menteri berkata kerajaan sedang mengkaji keperluan untuk mewujudkan laluan ketiga bagi menghubungkan Johor dan Singapura dalam usaha mengurangkan kesesakan di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia Singapura (Linkedua).
“Ia masih di peringkat perancangan, kita akan tengok kalau perlu,” ungkapnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.