Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia guna dana luar bantu pelarian Rohingya terima latihan kemahiran

Anggaran Waktu Membaca:
KUANTAN: Kerajaan Malaysia menggunakan dana luar bagi menampung kos latihan kemahiran yang akan diberikan kepada pelarian Myanmar khususnya etnik Rohingya, kata Menteri Luar, Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata kerajaan sama sekali tidak akan menggunakan duit rakyat dalam usaha membantu pelarian itu mendapatkan latihan kemahiran di negara ini.

Menurutnya, negara setakat ini tidak dapat serapkan pelarian Myanmar dalam sektor pekerjaan kerana mereka tidak mempunyai kemahiran.

"Sekarang ini kita ada kekurangan buruh daripada luar, banyak restoran, kilang dan sektor pembinaan kurang pekerja, tetapi mungkin majikan tidak bersedia ambil mereka (pelarian) kerana tidak mempunyai kemahiran asas.

"Oleh demikian, kita rancang program latihan kemahiran kepada mereka tertentu yang ingin bekerja, jadi kita sedang fikir bagaimana dana itu boleh diraih...sebagai Menteri Luar, saya juga melobi untuk mendapatkan dana daripada negara lain dan penderma antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Forum Pengundi Muda Penentu Masa Hadapan Negara Sempena Hari Belia Parlimen Indera Mahkota 2022, di Kuantan pada Ahad (14 Ogos).

Mengulas lanjut, Encik Saifuddin, yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, memaklumkan setakat ini salah satu negara yang sudah menyumbang ialah Qatar iaitu sebanyak AS$50 juta (S$68.5 juta) dengan AS$6 juta (S$8.23 juta) dibelanjakan untuk hal ehwal kesihatan pelarian berkenaan.

"Saya sebutkan ini supaya rakyat Malaysia tidak gusar apabila Menteri Luar bercakap tentang pelarian di Malaysia, mereka juga mempunyai peluang bekerja dan pendidikan,” katanya.

Sementara itu, Encik Saifuddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri ini, berkata rundingan awal bersama gabungan PN menyatakan untuk kekal bertanding di kerusi yang dimenangi parti masing-masing.

"Bersatu akan bertanding di satu kawasan Parlimen yang dimenangi manakala PAS di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Bersatu dan Gerakan takkan minta kerusi yang PAS menang, kemudian baru kita lihat kerusi tumpuan dan siapa paling sesuai untuk bertanding.

"Bagaimanapun, kami masih lagi melihat formula yang sesuai dan keputusan itu akan dimuktamadkan di peringkat Majlis Tertinggi PN," jelasnya.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan