Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia gugur syarat papar pelekat cukai jalan pada kenderaan persendirian

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia gugur syarat papar pelekat cukai jalan pada kenderaan persendirian

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke mempamerkan aplikasi MyJPJ kepada para wartawan di sebuah sidang media pada 10 Feb 2023. (Gambar: Facebook/Anthony Loke Siew Fook)

PUTRAJAYA: Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) persendirian milik warga Malaysia kini boleh menggunakan mod paparan digital, mulai Jumaat (10 Feb).

Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook berkata, paparan digital tersebut boleh didapati melalui Portal Awam JPJ atau aplikasi MyJPJ.

"Menerusi inisiatif ini, Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang mewajibkan LKM dilekatkan dan dipamerkan pada kenderaan tidak lagi akan dikuatkuasakan," katanya pada Jumaat (10 Feb).

Menurutnya lagi, pelaksanaan pendigitalan itu dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama melibatkan kenderaan persendirian individu, termasuklah motosikal milik warga Malaysia.

Beliau berkata, peralihan kepada platform digital akan mengurangkan kesesakan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekali gus memberi keselesaan kepada rakyat negara tersebut.

"Rakyat kini hanya perlu tunjukkan lesen memandu dan cukai jalan secara digital sekiranya perlu," katanya, dipetik daripada Sinar Harian.

Encik Loke berkata, pemandu dan pemilik kenderaan yang belum bersedia untuk beralih kepada digital masih boleh memperoleh atau mengekalkan amalan kebiasaan LMM dalam tempoh sementara waktu.

"Dalam tempoh sementara waktu sehingga hujung tahun ini, tiada paksaan atau tindakan dikenakan," katanya.

Menyentuh mengenai penguatkuasaan, beliau berkata, pendigitalan LKM dan LMM menjadi lebih mudah.

"Penguatkuasaan JPJ adalah selari dengan trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Ditanya mengenai masalah yang bakal timbul sekiranya terdapat gangguan capaian internet, Encik Anthony berkata, pemilik lesen boleh menyimpan salinan tangkap layar untuk tujuan pemeriksaan penguatkuasaan.

"Begitu juga jika anda memandu kenderaan bukan milik sendiri. Pemilik kenderaan boleh mencetak cukai jalan dan menyimpannya di dalam kenderaan atau menyerahkan kepada pemandu," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pembaharuan LKM dan LMM, Encik Loke berkata ia boleh dibuat melalui Portal Awam JPJ, lebih 200 kiosk JPJ, atau pihak ketiga iaitu MyEG dan Pos Malaysia.

"Bezanya tidak perlu cetak dan minta hantar ke rumah," katanya, lapor Sinar Harian.

Dengan pelaksanaan pengiditalan LKM dan LMM tersebut, beliau berkata, ia mampu menjimatkan sehingga RM96 juta (S$29 juta) setahun.

"Kita jimat cetak pelekat kerana setiap bulan bilangan LKM yang perlu diperbaharui di seluruh negara melebihi satu juta.

Secara purata 1.5 juta kenderaan memperbaharui LKM setiap bulan," katanya.

Sementara itu, Encik Loke berkata, beliau telah menandatangani pewartaan mengenai perkara tersebut dan dijangka akan mengambil masa sehingga tiga minggu untuk diwartakan.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan