Skip to main content

Dunia

M'sia cadang wujudkan wilayah ekonomi serantau JB-SG

Anggaran Waktu Membaca:
ISKANDAR PUTERI: Malaysia bercadang untuk mewujudkan wilayah ekonomi serantau antara Johor dan Singapura dalam usaha mengukuhkan potensi ekonomi negeri tersebut.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata sebelum ini sudah ada idea atau cadangan awal daripada kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan kerajaan Singapura menerusi pertemuan berkala ketiga-tiga pihak namun ia belum lagi diangkat sebagai cadangan rasmi.

"Saya rasa kami bersedia untuk menyaksikan dengan cara apa Singapura menganggap Johor sebagai sebahagian daripada zon ekonomi kerana kami juga mempunyai idea dan usulan kami bagaimana kami menganggap Singapura sebagai sebahagian daripada zon ekonomi kami.

“Sekarang saya rasa masa sesuai untuk bawa idea dan perbincangan itu dan mulakan (perbincangan) untuk melakukannya secara formal,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, pada Ahad (28 Mei).

Bagaimanapun, Encik Rafizi berkata cadangan itu akan dikemukakan pada mesyuarat Kabinet terlebih dahulu sebelum dibawa ke Mesyuarat Tahunan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) yang dijangka diadakan pertengahan Julai ini.

Sebelum ini, pada sesi dialog libat urus itu Encik Rafizi dalam ucapannya berkata Johor akan terus menjadi antara pemacu ekonomi negara terbesar pada masa hadapan, susulan potensi dan kedudukan strategiknya di rantau itu.

Beliau berkata dengan negara itu memberi fokus kepada sektor peralihan tenaga, Johor berpotensi menjadi penerima manfaat terbesar terutama dengan kedudukannya bersebelahan Singapura.

Ia turut didokong dengan keputusan kerajaan yang kini membenarkan aktiviti pengeksportan tenaga boleh diperbaharui, katanya.

“Johor akan jadi salah satu negeri yang paling berpotensi mendapat laba daripada projek aktiviti peralihan tenaga melibatkan tenaga boleh baharu. Dalam pada itu, Pengerang bukan sahaja dijadikan pusat kimia dan petrokimia tetapi juga perintis kepada tenaga ammonia dan hidrogen,” katanya.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita