Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia berminat teroka kerjasama dengan Thailand bagi majukan industri pertahanan

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia berminat teroka kerjasama dengan Thailand bagi majukan industri pertahanan

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 29 Aug 2022 07:39AM Dikemas Kini : 29 Aug 2022 08:08AM
BANGKOK: Malaysia berminat untuk menjalin kerjasama pertahanan dengan Thailand termasuk dalam menghasilkan produk pertahanan untuk memajukan industri pertahanan negara, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Muez Abd Aziz.

Selaras dengan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang dijangka dilancarkan Oktober ini, beliau berkata Malaysia sedia belajar dari Thailand yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam industri pertahanan.

Beliau memberi contoh Malaysia boleh belajar daripada Institut Teknologi Pertahanan(DTI), sebuah sayap khas di bawah Kementerian Pertahanan Thailand yang terlibat dalam usaha membangunkan produk pertahanan.

“Kita boleh belajar daripada DTI yang bekerjasama dengan pihak swasta untuk membangunkan produk pertahanan yang boleh digunakan agensi-agensi keselamatan dalam negara, di samping itu ia boleh dieskport ke negara-negara ASEAN dan negara-negara lain.

“Selain itu, syarikat-syarikat Malaysia dan Thailand boleh bekerjasama dalam beberapa bidang dalam industri pertahanan termasuk perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO), industri dron dan persenjataan,” katanya kepada Bernama.

Encik Muez yang kini dalam lawatan kerjanya ke Bangkok, Thailand sudah membuat kunjungan hormat terhadap Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan Thailand, Jen Worakiat Rattananont selain Pengerusi Lembaga Pengarah DTI Jen Porpol Maneerin dan juga Ketua Pengarah DTI Jen Choochart Buakhao.

Selain itu, Encik Muez juga melawat kilang Chaiseri Defense Co Ltd, sebuah syarikat pertahanan swasta yang dikawal selia oleh Kementerian Pertahanan Thailand yang menghasilkan kenderaan ketenteraan dan dieskport ke sekurang-sekurangnya 44 negara setakat ini.

Beliau berkata Malaysia boleh menjalin kerjasama dengan syarikat pertahanan swasta itu yang mempunyai pengalaman lebih 50 tahun dalam bidang pertahanan.

Encik Muez turut mengadakan perbincangan dengan Encik Worakiat berhubung Rondaan Selat Melaka (MSP) melibatkan empat negara - Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Saya sudah menghantar satu surat kepada Encik Worakiat bahawa kita akan menyediakan terma-terma rujukan bagi MSP.

“Selain itu, satu tarikh akan dimuktamadkan agar menteri pertahanan keempat-empat negara itu bermesyuarat,” katanya lagi.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan