M'sia berhasil tanam 33 juta sejak lancar Kempen Penanaman 100 Juta Pokok

Gambar: BERNAMA
KANGAR: Malaysia kini berjaya menanam 33 juta pokok sejak pelancaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok pada 5 Jun 2021, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata 33 juta pokok itu merangkumi lebih 1,000 spesies pokok di seluruh negara.
"Perlis juga tidak ketinggalan apabila sehingga kini telah berjaya menanam 120,399 pokok iaitu bersamaan 60.20 peratus daripada sasaran 2022," katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Program Kembara Hijau bersama Himpunan Outdoorians Malaysia (HOM) sempena Kempen Penghijauan Malaysia dan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis hari ini (29 Mei).
Turut hadir di majlis tersebut Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullai dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Menteri Besar Perlis Azlan Man, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA) Rosli Isa dan Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Indera Mohd Ridza Awang.
Menurut Encik Takiyuddin, sehingga kini Malaysia masih mengekalkan 55.3 peratus atau 18.27 hektar daripada keluasan tanah negara dengan kawasan berhutan selaras dengan komitmen negeri di peringkat antarabangsa.
"Suka saya maklumkan KetSA telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 untuk bacaan pertama pada 3 Mac 2022," katanya dan menambah bacaan kali kedua dan ketiga dijangka berlangsung semasa persidangan Parlimen Julai ini.
Beliau berkata untuk makluman, perundangan ini mengambil masa hampir 13 tahun untuk dimuktamadkan dan akhirnya dibawa ke Parlimen.
"Antara penambahbaikan utama adalah memperketatkan prosedur pewartaan keluar dan penggantian hutan simpan kekal (HSK) dengan memperkenalkan penyiasatan awam dan penggantian serentak bagi HSK yang dibawa keluar," katanya.
Takiyuddin berkata usaha ini merupakan manifestasi komitmen untuk mengekalkan 50 peratus daripada kawasan negara sebagai kawasan berhutan.
"Saya berharap dengan lulusnya RUU ini nanti perundangan perhutanan negara akan lebih mantap," katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.