Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia benarkan semula rakyat tunai umrah mulai 8 Feb

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia benarkan semula rakyat tunai umrah mulai 8 Feb

(Gambar: Rosli Razak/BERITAmediacorp)

KUALA LUMPUR: Kabinet Malaysia hari ini (26 Jan) memutuskan untuk membenarkan semula umat Islam mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Februari ini. 

Demikian menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berikutan kerajaan tidak berhasrat memanjangkan tempoh penggantungan perjalanan ibadah yang berkuat kuasa 8 Januari lalu susulan penularan jangkitan varian Omicron COVID-19.

“Baru tadi kami (Kabinet) sudah membuat keputusan. Kita tidak mahu memanjangkannya lagi (tempoh penggantungan) jadi apabila 8 Februari ini nanti, bolehlah ejen-ejen pelancongan umrah meneruskan aktiviti umrah masing-masing,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan perjalanan umrah selepas Majlis Pelancaran Video Kempen Dream Malaysia di Kuala Lumpur hari ini. 

Cik Nancy berkata prosedur operasi standard (SOP) untuk kebenaran perjalanan itu masih sama seperti sebelum ini. Antaranya,  jemaah perlu sudah mengambil suntikan dos penggalak.

“SOP dari dulu sama. Tinggal (cuma) hanya ada beberapa SOP baru untuk mereka (jemaah) dan itu akan dibincang bersama pihak ejen pelancongan umrah. Jadi SOP yang terperinci akan dibincang selanjutnya,” katanya.

Pada 1 Januari lalu, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Januari susulan peningkatan varian Omicron COVID-19 dalam kalangan jemaah yang pulang dari Arab Saudi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata penilaian risiko situasi COVID-19 membabitkan varian itu di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan