Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia bakal peroleh vaksin COVID-19 khusus untuk varian baru bagi warga emas & kanak-kanak tertentu

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia bakal peroleh vaksin COVID-19 khusus untuk varian baru bagi warga emas & kanak-kanak tertentu

(Gambar: Vincent Thian/AP)

Diterbitkan : 14 Sep 2022 05:52PM Dikemas Kini : 14 Sep 2022 05:52PM

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat perolehan bagi vaksin COVID-19 varian baru khusus untuk penggunaan kanak-kanak yang mempunyai penyakit kronik serta warga emas, kata Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata vaksin yang akan diberikan secara percuma itu, tidak diberikan kepada semua golongan kerana situasi pandemik COVID-19 di negara berkenaan terkawal.

“KKM mahu tumpukan pemberian kepada golongan berisiko tinggi. Sebarang keputusan berhubung perolehan ini akan diumumkan kelak, bersekali dengan perolehan vaksin kepada kanak-kanak berusia bawah lima tahun,” katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penerimaan Anugerah Malaysia Book of Record dan Pelancaran Laporan ‘Record Breaking COVID-19 Vaccination: Public Private Partnership’ pada Selasa (13 Sep), Encik Khairy berkata proses pemberian vaksin itu akan dilakukan di kemudahan kesihatan kerajaan dan swasta kelak.

Bagi melancarkan proses pemberian vaksin tersebut, Encik Khairy berkata pihaknya sudahpun meminta Bahagian Kesihatan Awam dan Bahagian Pediatrik untuk menyediakan data berkaitan pesakit yang mempunyai dua atau lebih penyakit serentak dan kanak-kanak berisiko di Malaysia. 

“Data ini akan dikumpulkan dalam pangkalan data KKM. Ia akan bantu KKM untuk lakukan perolehan vaksin yang mencukupi,” katanya.

Ketika berucap pada majlis tersebut, beliau berkata ProtectHealth Corporation Sdn Bhd dan KKM berjaya melakar sejarah, apabila diiktiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai ‘Most Vaccination Doses Administered In a Day’ (pemberian dos vaksin terbanyak dalam sehari) menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dijalankan sejak Februari tahun lepas.

Katanya, jumlah pemberian vaksin tertinggi yang pernah dicatatkan di Malaysia adalah pada 28 Julai 2021 iaitu sebanyak 581,566 dos yang diberikan dalam masa sehari. 

Untuk rekod, sehingga kini 72 juta dos vaksin COVID-19 telah diberikan kepada rakyat Malaysia, meliputi warga emas, remaja dan kanak-kanak. 

Sumber : Bernama/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa