Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia anjur Sidang Puncak ASEAN-GCC hujung tahun ini

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia anjur Sidang Puncak ASEAN-GCC hujung tahun ini

Menteri Luar Malaysia Zambry Abdul Kadir (kanan) menghadiri Pemukiman Menteri Luar ASEAN (AMM Retreat) di Jakarta pada 4 Februari 2023. (Gambar: BERNAMA)

JAKARTA: Malaysia akan menganjurkan Sidang Puncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada September atau Oktober tahun ini, kata Menteri Luar Zambry Abdul Kadir.

“GCC mengemukakan cadangan kepada ASEAN agar Malaysia menjadi tuan rumah, tarikhnya masih lagi dalam perbincangan,” katanya kepada media Malaysia selepas mesyuarat Retreat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM Retreat) di Jakarta pada Sabtu (4 Feb). 

Beliau berkata Malaysia yang telah dipertanggungjawabkan ASEAN sebagai Sekretariat ASEAN-GCC dan ASEAN-Kanada, akan mewujudkan kerjasama antara rantau ini dengan kedua-dua pihak melalui dialog.

ASEAN dan GCC menjalin hubungan rasmi sejak 1990 manakala hubungan dialog ASEAN-Kanada telah diwujudkan pada Februari 1977.

Encik Zambry yang mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-32 dan AMM Retreat di Sekretariat ASEAN, turut mengadakan mesyuarat sampingan dengan rakan sejawatannya dari Vietnam, Bui Thanh Son dan Timor Leste, Adaljiza Magno untuk mengukuhkan hubungan dua hala.

“Malaysia menyokong kemasukan negara Timor Leste sebagai negara ASEAN yang ke-11,” katanya.

Menteri-Menteri Luar ASEAN pada Jumaat (3 Feb) mengalu-alukan penyertaan Timor Leste sebagai pemerhati untuk kali pertama pada mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi.

"Malaysia antara negara yang sangat konsisten sejak kami mengemukakan permohonan untuk menjadi anggota penuh ASEAN," kata Encik Magno kepada para pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Encik Zambry.

Beliau berkata penyertaan Timor Leste dalam ACC dan AMM Retreat sebagai pemerhati menjadi batu loncatan untuk menjadi ahli penuh.

Negara tersebut sedang berusaha memenuhi keperluan berdasarkan garis panduan yang diluluskan oleh negara anggota ASEAN dan juga menyediakan pelan hala tuju untuk menjadi ahli penuh pada masa hadapan.

“Timor Leste mempunyai kerjasama dua hala yang sangat kukuh dengan Malaysia,” kata Encik Magno, sambil menambah bahawa Malaysia membantu membina semula negara berkenaan sejak merdeka terutamanya dalam pembinaan kapasiti dan melatih diplomat. 

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan