Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia akan terus tetapkan had harga ayam, kata PM Ismail Sabri

Kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak mengapungkan harga ayam yang dijangka berkuat kuasa bermula 1 Julai.

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak mengapungkan harga ayam yang dijangka berkuat kuasa bermula 1 Julai.

Sebaliknya, had baru harga akan diumumkan tidak lama lagi oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), menurut Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya hari ini (24 Jun).

"Keputusan yang dibuat itu membuktikan keprihatinan kerajaan dalam melindungi kepentingan keluarga Malaysia supaya mereka tidak dibebani harga yang meningkat dan oleh cabaran kos sara hidup," kata beliau.

Pada Isnin, Menteri Perdagangan Domestik dan Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata bahawa Malaysia akan menghentikan kawalan had harga bagi ayam dan telur ayam bermula 1 Julai.

Beliau berkata langkah itu bagi menstabilkan bekalan makanan di pasaran serta harganya dalam jangka panjang.

Harga runcit maksimum ayam standard di Malaysia kini RM8.90 setiap kilogram (S$2.80). Ini adalah ayam yang sudah diproses dan dijual dengan kepala, kaki dan organ-organ.

Harga runcit maksimum bagi ayam super - yang disembelih dan dibersihkan, dan kemudian dijual tanpa kaki, kepala dan organ-organ - kini ditetapkan pada RM9.90 (S$3.10) bagi setiap kilogram.

Sebelum ini, kerajaan Malaysia mengumumkan ia akan berhenti memberi subsidi kepada penternak ayam itik bermula 1 Julai.

Menyusuli pengumuman itu, para penternak ayam itik menyuarakan harapan agar kerajaan akan membenarkan harga ayam diapungkan.

Bermula 1 Jun, Malaysia melarang eksport ayam untuk menghuraikan isu bekalan dan harga yang dihadapi di negara tersebut.

Malaysia mengalami kekurangan bekalan ayam, dengan harga ayam melonjak disebabkan kos menternaknya.

Malaysia sebelum ini mengeksport 3.6 juta ayam sebulan ke Singapura.

TIADA KENAIKAN TARIF ELEKTRIK DAN AIR DI SEMENANJUNG M'SIA

Dalam kenyataan media pada Jumaat, Encik Ismail Sabri juga mengumumkan tarif elektrik dan air tidak akan dinaikkan di Semenanjung Malaysia dan bahawa kadar itu akan dikekalkan buat masa ini.

"Dengan keputusan ini, kerajaan komited membiayai subsidi RM5.8 bilion, meskipun dengan kenaikan mendadak kos petrol dan kos lain penjanaan," jelasnya.

Pada Rabu, Encik Ismail Sabri mendedahkan bantuan kewangan tambahan berjumlah RM630 juta (S$200 juta) bagi membantu golongan 40 peratus terendah dalam masyarakat bagi menangani kenaikan kos sara hidup.

Keluarga-keluarga, warga emas dan individu bujang yang layak akan menerima wang tunai RM100 (S$31.50) atau RM50 (S$18) bermula 27 Jun.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan