Skip to main content

Dunia

M'sia akan perkenal akta baru larang aktiviti merokok

Anggaran Waktu Membaca:

PUTRAJAYA: Akta baru akan diperkenalkan bagi melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik (pengewap) terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005 atau dikenali sebagai Generational End Game, kata Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata pengenalan akta baru tersebut akan dapat mengurangkan keterdedahan generasi akan datang kepada rokok dan produk tembakau kerana pengambilannya adalah faktor utama kejadian barah dan menyumbang 22 peratus kematian akibat penyakit tersebut.

Beliau juga berkata kos untuk merawat penyakit barah paru-paru akibat merokok dianggarkan RM132.7 juta (S$42.53 juta).

"Bermakna jika anda berumur 17 tahun dan Parlimen meluluskan akta itu, anda tidak lagi dapat membeli sebatang rokok di negara ini,” katanya ketika berucap semasa merasmikan sambutan Hari Kanser Peringkat KKM secara maya hari ini (17 Feb).

Dalam pada itu, Khairy berkata terdapat peningkatan kes barah sebanyak 11 peratus di Malaysia iaitu 115,238 kes bagi tempoh 2012 hingga 2016 berbanding 103,507 kes bagi tempoh 2007 hingga 2011.

Beliau berkata dianggarkan setiap seorang daripada 10 lelaki dan setiap seorang daripada sembilan wanita berkemungkinan akan menghidap penyakit barah.

Tiga jenis barah yang paling kerap berlaku di Malaysia dalam kalangan lelaki adalah kolorektal atau usus besar (16.9 peratus), paru-paru (14.8 peratus) dan prostat (8.1 peratus).

Sementara dalam kalangan wanita adalah barah payudara (33.9 peratus), dikuti dengan barah kolorektal (10.7 peratus) dan barah pangkal rahim (6.2 peratus).

Menurut Khairy, kematian akibat barah merupakan sebab utama kematian di hospital-hospital swasta iaitu 34.95 peratus dan sebab kematian keempat di hospital KKM iaitu 11.56 peratus.

Khairy berkata pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM137 juta (S$43.91 juta) untuk Perkhidmatan Radioterapi dan Onkologi dan jumlah tersebut tidak termasuk kos lain seperti pengimejan dan makmal untuk pengesahan diagnosa, pembedahan dan anesthesiologi, rehabilitasi dan perkhidmatan paliatif.

Pada sambutan Hari Kanser Peringkat KKM itu, Khairy turut melancarkan buku National Strategic Plan for Cancer Control Programme (NSPCCP) 2021-2025 dan buku National Strategic Plan for Colorectal Cancer (NSPCRC) 2021-2025.

Menurutnya, NSPCCP 2021-2025 mengandungi sasaran serta strategi bagi semua aspek kawalan barah yang merangkumi Pencegahan, Pengesanan Awal, Diagnosis, Rawatan, Rehabilitasi, Penjagaan Paliatif, Rawatan Tradisional & Komplimentari (T&CM), Surveilan & Pemantauan (Registri Kanser), Penyelidikan dan Sumber Manusia.

NSPCRC 2021-2025 pula adalah subset daripada NSPCCP 2021-2025 dan merupakan pelan tindakan barah kolorektal bagi peringkat KKM untuk mengawal barah kolorektal, barah kedua penting di Malaysia.
 

Sumber : Bernama/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita