Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia akan perhalusi proses pengambilan pekerja asing Indonesia, Bangladesh

Anggaran Waktu Membaca:
KEPALA BATAS: Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia akan mengadakan perbincangan pada Isnin (18 Jul) untuk meneliti dan memperhalusi proses berkaitan pengambilan pekerja asing dari Indonesia dan Bangladesh.

Menteri Sumber Manusia, M.Saravanan berkata proses pengambilan pekerja warga Bangladesh ke Malaysia sudah dapat ditangani dan pihak Suruhanjaya Tinggi Bangladesh sudah membuat proses pengesahan.

“Pada Isnin (18 Jul) saya akan adakan perbincangan dengan KDN supaya kita meneliti dan memperhalusi bagaimana cara mengatasi masalah dengan secara berhemah dan setakat ini, kita sudah luluskan untuk sektor perladangan, pembangunan, pembuatan, pertanian dan perkhidmatan.

“Bagi proses pengambilan pekerja asing dari Indonesia, ini juga akan dibincangkan pada Isnin (18 Jul) dengan KDN. Perkara ini melibatkan dua kementerian dan adalah lebih elok jika sebarang keputusan dibuat bersama,” kata beliau kepada wartawan selepas merasmikan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia peringkat Pulau Pinang di Kepala Batas pada Ahad (17 Jul).

Mengulas mengenai karnival anjuran KSM menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu, beliau berkata ia merupakan satu daripada cara untuk memastikan kadar pengangguran kekal rendah.

“Di Pulau Pinang, kadar pengangguran kekal rendah dan berkurangan kepada 3.3 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 3.5 peratus pada suku pertama tahun lalu.

“Di samping pelbagai usaha bagi menambah peluang pekerjaan, KSM juga menyasarkan untuk membudayakan pemahiran semula, peningkatan kemahiran dan silang kemahiran untuk memastikan kebolehpasaran siswazah kekal tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Encik Saravanan berkata KSM memperuntukkan RM46,000 (S$14,470) bagi caruman Perkeso di bawah Skim Pekerjaan Sendiri untuk 1,000 orang warga Pulau Pinang.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican yang turut hadir pada majlis itu berkata Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia peringkat Pulau Pinang menawarkan 12,404 peluang pekerjaan dengan penglibatan 24 majikan daripada pelbagai sektor.

Encik Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas turut mengumumkan peruntukan sama bagi caruman dan skim sama untuk 1,000 orang warga Kepala Batas.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan