M'sia akan adakan rundingan dengan pengendali hotel Makkah, Madinah berhubung kos penginapan
Kerajaan Malaysia dan Lembaga Tabung Haji akan mengadakan perbincangan dengan pengendali hotel di Makkah dan Madinah dalam masa terdekat berhubung kadar bilik penginapan dalam usaha mengawal atau mengurangkan kos menunaikan ibadah haji tahun ini.

Jemaah haji terhad tawaf keliling Kaabah pada 31 Jul 2020 (Gambar: SPA/AFP)
PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia dan Lembaga Tabung Haji akan mengadakan perbincangan dengan pengendali hotel di Makkah dan Madinah dalam masa terdekat berhubung kadar bilik penginapan dalam usaha mengawal atau mengurangkan kos menunaikan ibadah haji tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata kenaikan kadar hotel di Makkah dan Madinah adalah di luar kawalan kerajaan Arab Saudi dan perkara berkenaan dimaklumkan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabia kepadanya baru-baru ini.
"Beliau (Tawfiq Fawzan) berkata itu (kadar hotel) di luar kawalan beliau, dan (kita) kena tanya kepada pemilik-pemilik hotel di sana," katanya kepada media selepas Pengumuman Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat Wilayah Persekutuan Bagi Tahun 2022 pada Khamis (26 Jan).
Pada 16 Januari lepas, media melaporkan kos menunaikan haji secara muassasah tahun ini dijangka meningkat kepada lebih RM31,000 (S$9,576), peningkatan kira-kira RM2,368 (S$731) berbanding RM28,632 (S$8,846) kos sebenar setiap jemaah pada musim lepas.
Ditanya kenaikan kos umrah sehingga RM10,000 (S$3,089) ketika ini berbanding kira-kira RM7,000 (S$2,162) sebelum ini, Mohd Na'im berkata perkara itu berkemungkinan turut disumbangkan oleh kenaikan kadar hotel di Arab Saudi.
Sehubungan itu, beliau menyarankan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), yang terlibat dalam kawal selia umrah, untuk mengadakan perbincangan dengan pengendali hotel di Arab Saudi berkenaan kadar penginapan di sana.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.