Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Mowgli M'sia' sihat selepas terjatuh dari kerbau peliharaannya

"Saya masih boleh bermain dengan kerbau macam biasa," kata 'Mowgli Malaysia', menyusuli insiden terjatuh semasa berada di belakang haiwan itu pada Sabtu (9 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
'Mowgli M'sia' sihat selepas terjatuh dari kerbau peliharaannya

(Gambar: TODAYonline/Instagram)

Diterbitkan : 11 Mar 2019 01:24PM Dikemas Kini : 11 Mar 2019 01:26PM

KUALA TERENGGANU: "Saya masih boleh bermain dengan kerbau macam biasa," kata 'Mowgli Malaysia', menyusuli insiden terjatuh semasa berada di belakang haiwan itu pada Sabtu (9 Mac).

'Mowgli Malaysia' atau nama sebenarnya Muhammad Syukur Khamis, 14 tahun, dibenarkan keluar hospital pada Ahad (10 Mac) dan disahkan tidak mengalami kecederaan serius.

"Semuanya berlaku sekejap sangat, mungkin belakang kerbau itu licin sangat, jadi saya tergelincir dan jatuh. Lepas terjatuh memang ada rasa macam pening-pening tapi saya terus je bermain dengan empat kawan macam biasa.

"Bila dah petang sikit, baru rasa macam loya dan muntah-muntah, jadi ayah suruh saya pergi juga ke hospital untuk buat pemeriksaan. Terima kasih untuk semua yang mendoakan. Saya dah sihat," katanya yang sangat ceria ketika menerima kunjungan Pengarah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Nor Azimi Yunus, dan wakil media semalam (10 Mac).

Pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin yang turut digelar 'Kampung Boy' itu dikatakan terjatuh selepas beraksi dalam sesi fotografi bersama kira-kira 100 ekor kerbau peliharaan bapanya, Khamis Jusoh.

Syukur berkata insiden itu tidak menjadikannya serik untuk terus bermain dengan kerbau, malah kejadian pertama yang dialami itu memberi peringatan kepadanya supaya lebih berhati-hati.

Sementara itu, Dr Nor Azimi berkata pihaknya sudah melakukan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) terhadap Syukur kerana risau sekiranya berlaku sebarang gegaran di bahagian otak akibat insiden tersebut.

"Hasil imbasan itu mendapati semuanya berada dalam keadaan normal, tiada gegaran otak yang kita takuti apabila seseorang itu terjatuh, jadi dia dirawat sebagai pesakit biasa sahaja.

"Kita telah berikan ubat tahan sakit dan kita masih pantau dia di mana setakat pagi ini, kita dapati keadaannya bertambah baik. Insya-Allah dia boleh pulang petang ini (10 Mac) dan secara amnya keadaan dia stabil," katanya.

Remaja yang popular berikutan keakrabannya dengan kerbau peliharaan bapanya itu dimasukkan ke hospital pada pukul 9.00 malam, Sabtu (9 Mac).

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan