Skip to main content

Dunia

Mosko mula vaksinasi COVID-19 beramai-ramai dengan suntikan Sputnik V

Mosko mula mengagihkan suntikan vaksin COVID-19, Sputnik V, melalui 70 klinik pada Sabtu (5 Dis), menandakan bermulanya vaksinasi beramai-ramai pertama Rusia terhadap penyakit virus itu. Ini diumumkan pasukan petugas virus korona itu negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Mosko mula vaksinasi COVID-19 beramai-ramai dengan suntikan Sputnik V

(Gambar: Reuters/Karoly Arvai)

Diterbitkan : 05 Dec 2020 08:26PM Dikemas Kini : 05 Dec 2020 08:28PM

MOSKO: Mosko mula mengagihkan suntikan vaksin COVID-19, Sputnik V, melalui 70 klinik pada Sabtu (5 Dis), menandakan bermulanya vaksinasi beramai-ramai pertama Rusia terhadap penyakit virus itu. Ini diumumkan pasukan petugas virus korona itu negara itu.

Pasukan petugas itu menyatakan vaksin buatan Rusia itu akan disediakan untuk doktor dan pekerja perubatan lain, guru dan pekerja sosial dahulu kerana mereka berisiko paling tinggi terkena penyakit ini.

Mosko, pusat wabak COVID-19 di Rusia, mencatatkan 7,993 kes baru semalam, meningkat daripada 6,868 sehari sebelumnya dan jauh melebihi jumlah harian sekitar 700 yang dicatat pada awal September.

Datuk Bandar Sergei Sobyanin berkata 5,000 orang mendaftar dalam lima jam untuk mendapatkan vaksin percuma itu.

Umur bagi mereka yang menerima suntikan dihadkan kepada 60 tahun. Mereka yang mempunyai keadaan kesihatan tertentu, wanita hamil dan mereka yang mengalami penyakit pernafasan selama dua minggu lalu dilarang melakukan vaksinasi.

Rusia membangunkan dua vaksin COVID-19, Sputnik V yang disokong oleh Dana Pelaburan Langsung Rusia dan satu lagi yang dikembangkan oleh Institut Vektor Siberia, dengan ujian peringkat terakhir untuk kedua-duanya belum selesai.

Para saintis sebelum ini menyuarakan kebimbangan tentang kepantasan Rusia meluluskan vaksinnya dan melancarkan vaksinasi beramai-ramai sebelum ujian penuh untuk menguji keselamatan dan keberkesanannya selesai.

Mosko menutup semua tempat awam termasuk taman dan kafe, kecuali untuk penghantaran, pada hujung Mac, dengan polis melakukan rondaan di jalan-jalan raya mencari sesiapa yang melanggar peraturan. Bagaimanapun, sekatan dilonggarkan mulai pertengahan Jun.

Rusia secara keseluruhannya melaporkan lebih 28,780 jangkitan baru pada Sabtu, jumlah harian tertinggi, menjadikan jumlah nasional menjadi lebih 2,431,700, yang keempat tertinggi di dunia.

Pada Oktober, sekatan tertentu seperti pembelajaran jarak jauh untuk sebilangan pelajar sekolah menengah dan had 30 peratus bilangan pekerja di pejabat dilaksanakan semula.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita