Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Monyet sambar, bunuh bayi baru lahir

Seorang bayi lelaki berusia 12 hari maut selepas disambar dari ibunya dan digigit oleh seekor monyet.

Anggaran Waktu Membaca:
Monyet sambar, bunuh bayi baru lahir

(Gambar fail: AP)

Diterbitkan : 21 Nov 2018 02:53PM Dikemas Kini : 21 Nov 2018 03:06PM

NEW DELHI: Seorang bayi lelaki berusia 12 hari maut selepas disambar dari ibunya dan digigit oleh seekor monyet.

Agensi berita BBC menukil keluarga bayi berkenaan sebagai berkata ibu bayi itu sedang menyusukannya di rumah mereka di bandar Agra di bahagian utara India apabila haiwan tersebut tiba-tiba masuk ke dalam kediaman mereka dan menyambarnya.

Monyet itu kemudian meninggalkan bayi yang cedera parah akibat digigitnya itu di bahagian bumbung rumah jiran mereka, selepas dikejar oleh para penduduk.

Bayi malang itu meninggal dunia di hospital akibat kecederaan yang dialaminya. Para penduduk mengatakan bahawa serangan monyet semakin meningkat di kawasan tersebut.

Bapa saudara bayi itu, Dhirendra Kumar, memberitahu BBC bahawa keluarga mangsa amat bersedih dengan pemergiannya.

"Terdapat terlalu banyak monyet di kawasan itu. Kami hidup dalam ketakutan. Kami sudah berkali-kali meminta pihak berkuasa supaya membantu kami tetapi mereka belum lagi melakukan apa-apa pun. Ibu bayi terlalu sedih sehingga tidak berupaya bercakap," kata beliau.

Nenek mangsa, Pushpa Devi, pula mengatakan bahawa keluarga itu "tidak akan dapat bangkit" daripada kehilangan bayi tersebut.

"Saya kehilangan cucu saya. Saya baru sahaja menggendongnya beberapa jam sebelum monyet itu menyerang bayi kami. Bayi kami tidak sepatutnya mati. Orang akan bercakap tentang insiden itu dan kemudian melupakannya tetapi kami terpaksa hidup dengan realiti bahawa bayi kami sudah tiada," katanya.

Ajay Kaushal, pegawai bertanggungjawab ke atas balai polis berdekatan, memberitahu agensi berita Reuters bahawa bayi itu cedera parah akibat gigitan haiwan tersebut.

Encik Ajay berkata: “Monyet itu menggigit kepala bayi dan hanya melepaskannya apabila para penduduk mengejarnya dengan batang-batang kayu dan membaling batu ke arahnya.”

Insiden itu adalah serangan monyet terbaru yang berlaku di bandar Agra, di mana terletaknya monumen India paling popular iaitu Taj Mahal. Dua bulan lalu, seorang bayi juga diserang oleh beberapa ekor monyet dan beliau sedang beransur pulih di sebuah hospital.

Pada bulan Mei, dua pelacong dilaporkan diserang oleh beberapa ekor monyet di Taj Mahal.

“Monyet-monyet ini berkeliaran di sekeliling Agra,” kata Shravan Kumar Singh, seorang aktivis alam sekitar kepada Reuters.

“Monyet-monyet itu merayau-rayau mencari makanan tetapi ia juga menyambar barang dan menyerang manusia.”

Menurut Encik Singh, haiwan itu menjadi bertambah agresif akibat kehilangan habitat semula jadinya yang musnah akibat kerja-kerja memperluaskan bandar tersebut.

Beberapa pertubuhan tempatan menggesa agar monyet-monyet itu dikendiri dan dikecualikan daripada undang-undang perlindungan hidupan liar, tambah beliau seperti dipetik oleh BBC. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan