Skip to main content

Dunia

Montana negeri pertama AS haramkan TikTok

Anggaran Waktu Membaca:
Montana negeri pertama AS haramkan TikTok

(Gambar: Mario Tama/Getty Images/AFP)

Diterbitkan : 18 May 2023 12:19PM
NEW YORK: Montana menjadi negeri pertama Amerika Syarikat (AS) untuk mengharamkan aplikasi media sosial TikTok yang dibangunkan China apabila gabenor Republican Greg Gianforte menandatangani rang undang-undang pada Rabu (17 Mei).

Demikian lapor agensi berita Jerman (dpa).

“Untuk melindungi data peribadi penduduk Montana daripada Parti Komunis China, saya mengharamkan TikTok di Montana,” ciap Encik Gianforte selepas menandatangani rang undang-undang tersebut.

Peraturan baru itu melarang gedung aplikasi App Store daripada menawarkan aplikasi perkongsian video tersebut mulai 1 Januari 2024 dan menghalang TikTok daripada beroperasi sebagai perniagaan di negeri berkenaan.

Selagi platform media sosial itu masih tersedia, penyedia aplikasi perlu membayar denda US$10,000 (S$13,420) setiap hari. Pengguna, bagaimanapun, tidak akan didenda dan mereka yang sudah mempunyai aplikasi itu pada peranti mereka tidak akan terjejas.

TikTok masih belum memberi maklum balas terhadap perubahan undang-undang itu. Namun, tindakan undang-undang yang mencabar larangan berdasarkan hak kebebasan bersuara, mungkin difailkan.

Dimiliki oleh syarikat China, ByteDance, TikTok sudah diharamkan pada peranti milik pemerintah di Kanada, Australia, New Zealand, Britain dan AS di tengah-tengah kebimbangan akan keselamatan siber.

Aplikasi itu mempunyai lebih satu bilion pengguna di seluruh dunia. Ia digunakan secara meluas di AS dan Eropah, lantas mencetuskan kebimbangan bahawa pihak berkuasa China dan agensi perisikan mungkin menggunakan aplikasi tersebut untuk mengumpul maklumat daripada pengguna atau menyebarkan pengaruh. Syarikat itu, bagaimanapun, menafikan dakwaan sedemikian.
Sumber : Agensi berita/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita