Mohamed Hanipa pengsan ketika perjumpaan bulanan Jabatan Perdana Menteri
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin pengsan ketika perjumpaan bulanan Perdana Menteri di Perdana Putra, di Putrajaya pagi Isnin (9 Jul).
PUTRAJAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin pengsan ketika perjumpaan bulanan Perdana Menteri bersama warga jabatan perdana menteri di Perdana Putra, di Putrajaya pagi Isnin (9 Jul).
Ketika Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sedang berucap, keadaan menjadi kecoh apabila Mohamed Hanipa yang berdiri paling kanan dalam barisan menteri dan timbalan menteri Jabatan Perdana Menteri, tiba-tiba rebah dari pentas.
Anggota Parlimen Sepang itu terus diberikan rawatan kecemasan oleh anggota paramedik sebelum dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketika kejadian Dr Mahathir menghentikan seketika ucapannya sebelum meneruskannya semula apabila Mohamed Hanipa kelihatan dalam keadaan sedar.
Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail antara individu terawal yang bergegas turun melihat keadaan Mohamed Hanipa sebelum naik semula ke atas pentas apabila keadaan sudah stabil.
Mohamed Hanipa yang bertanggungjawab dalam undang-undang adalah antara tiga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mengangkat sumpah pada 2 Julai lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.