Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Modus operandi terbaru seludup petrol dari Sungai Golok ke Thailand dikesan

Batalion Kesembilan Pasukan Gerakan Am (PGA9), yang menjalankan Op Benteng COVID-19 di sempadan Malaysia-Thailand, berjaya mengesan modus operandi terbaru penyeludup bahan api iaitu dengan menyalurkan terus petrol ke negara jiran menggunakan saluran paip.

Anggaran Waktu Membaca:
Modus operandi terbaru seludup petrol dari Sungai Golok ke Thailand dikesan

(Gambar: Batalion Ke 9 Pasukan Gerakan Am melalui BERNAMA)

Diterbitkan : 28 Oct 2021 02:46PM Dikemas Kini : 28 Oct 2021 03:08PM

PASIR MAS: Batalion Kesembilan Pasukan Gerakan Am (PGA9), yang menjalankan Op Benteng COVID-19 di sempadan Malaysia-Thailand, berjaya mengesan modus operandi terbaru penyeludup bahan api iaitu dengan menyalurkan terus petrol ke negara jiran menggunakan saluran paip.

Pegawai Pemerintah PGA9 Supt Nor Azizan Yusof berkata saluran paip getah sepanjang 300 meter itu disambung merentasi Sungai Golok melalui dasar sungai ke negara jiran.

Beliau berkata modus operandi penyeludup itu dikesan oleh sepasukan anggotanya yang membuat rondaan di Pangkalan Haram Kertas di Gual Tok Deh, Rantau Panjang, dekat Pasir Mas, Kelantan, semalam (27 Okt).

“Anggota pasukan telah mengesan sebuah kenderaan yang dilihat dalam keadaan mencurigakan pada pukul 9.00 pagi yang memasuki pangkalan haram. Pegawai dan anggota yang membuat pemerhatian kemudiannya telah menyerbu kenderaan itu.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan membawa kepada penemuan dua tong berwarna putih berisi petrol. Berhampiran kawasan itu juga dijumpai dua lagi tong berisi petrol dan enjin pam lengkap dengan paip getah menuju ke pembentong simen," katanya dalam kenyataan hari ini (28 Okt).

Beliau menjelaskan pemeriksaan lanjut di dalam lubang pembentong itu pula menemukan satu lagi enjin pam dengan saluran paip dipasang menuju ke dasar sungai, terus ke tebing sungai di negara jiran, disyaki digunakan untuk kegiatan penyeludupan bahan api.

Supt Nor Azizan berkata ekoran insiden itu, pemandu kenderaan berusia 40-an ditahan untuk soal siasat di Balai Polis Rantau Panjang manakala semua barangan dan peralatan yang digunakan dalam kegiatan itu dirampas.

"Anggaran rampasan adalah RM15,522 (S$5,000) termasuk kenderaan, petrol serta peralatan yang digunakan. Kesemua barang dan kes diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan