Skip to main content

Dunia

Modi ikrar tindak balas India lebih tegas terhadap sebarang 'serangan pengganas' pada masa hadapan

Perdana Menteri India Narendra Modi berikrar pada Isnin (12 Mei) untuk bertindak balas dengan lebih tegas terhadap sebarang "serangan pengganas" pada masa hadapan, dan memberi amaran bahawa New Delhi tidak akan bertolak ansur dengan "pemerasan nuklear" sekiranya berlaku konflik selanjutnya dengan Pakistan.

Anggaran Waktu Membaca:
Modi ikrar tindak balas India lebih tegas terhadap sebarang 'serangan pengganas' pada masa hadapan

Perdana Menteri India Narendra Modi. (Gambar fail: Sajjad Hussain/AFP)

Diterbitkan : 13 May 2025 07:04AM Dikemas Kini : 13 May 2025 07:06AM
NEW DELHI: Perdana Menteri India Narendra Modi berikrar pada Isnin (12 Mei) untuk bertindak balas dengan lebih tegas terhadap sebarang "serangan pengganas" pada masa hadapan, dan memberi amaran bahawa New Delhi tidak akan bertolak ansur dengan "pemerasan nuklear" sekiranya berlaku konflik selanjutnya dengan Pakistan.

Gencatan senjata pada hujung minggu lalu, yang menurut Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah diusahakan olehnya, kelihatan dapat bertahan selepas empat hari berlaku serangan jet pejuang, peluru berpandu, dron dan bedilan meriam yang sengit - keganasan terburuk antara kedua-dua negara jiran bersenjata nuklear sejak 1999.

Encik Trump mendakwa pada Isnin (12 Mei) bahawa campur tangan Amerika telah menghalang "perang nuklear yang buruk".

"Kami menghentikan konflik nuklear... berjuta-juta orang mungkin terbunuh. Lantaran itu, saya sangat berbangga dengan pencapaian ini," katanya kepada para wartawan di Rumah Putih.

Encik Modi, dalam ucapan di televisyen kepada seluruh negara itu - yang pertama sejak permusuhan bermula pada Rabu lalu - berkata Pakistan telah memilih untuk menyerang daripada membantu India memerangi "pengganasan".

“Jika satu lagi serangan pengganas terhadap India dilakukan, tindak balas yang lebih tegas akan diberikan,” kata Encik Modi.

Konflik itu tercetus menyusuli serangan pada 22 April ke atas para pelancong di Kashmir yang ditadbir India, yang mengorbankan 26 orang awam.

India menuduh Pakistan menyokong serangan itu, tetapi Islamabad menafikan sebarang penglibatan.

Pertempuran yang membimbangkan ke arah perang habis-habisan bermula sebelum subuh pada Rabu lalu apabila India melancarkan serangan peluru berpandu, memusnahkan apa yang disifatkannya sebagai "kem pengganas" di bahagian Kashmir yang ditadbir oleh Pakistan.

India dan Pakistan kemudian saling menuduh satu sama lain melancarkan serangan udara dan serangan dron, serta bedilan peluru berpandu dan meriam yang membunuh sekurang-kurangnya 60 orang di kedua-dua pihak.

“Jika Pakistan mahu terus hidup, ia perlu memusnahkan infrastruktur pengganasannya,” kata Encik Modi pada Isnin.

“India akan menyerang dengan lebih tegas terhadap kumpulan-kumpulan pengganas yang berleluasa di bawah perlindungan pemerasan nuklear.

Keganasan yang memuncak antara India dan Pakistan adalah yang paling teruk sejak konflik terakhir meletus pada 1999 dan menimbulkan keprihatinan global bahawa ia boleh bertukar menjadi perang besar-besaran.

Kedua-dua seteru itu juga saling menuduh satu sama lain melanggar syarat-syarat gencatan senjata beberapa jam selepas ia secara tidak dijangka diumumkan oleh Encik Trump di media sosial pada Sabtu lalu.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita