Skip to main content

Dunia

Modi dan Xi komited selesaikan isu sempadan, perkukuh hubungan

Anggaran Waktu Membaca:
Modi dan Xi komited selesaikan isu sempadan, perkukuh hubungan

Perdana Menteri India Narendra Modi bersalaman dengan Presiden China Xi Jinping semasa majlis sambutan sebelum bermulanya Sidang Puncak BRICS ke-18 di New Delhi pada 12 September 2026. (Gambar: AFP/Alexander Kazakov)

Diterbitkan : 13 Sep 2026 03:00PM
NEW DELHI: Perdana Menteri India Narendra Modi dan Presiden China Xi Jinping bersetuju untuk bekerjasama ke arah menyelesaikan pertikaian sempadan antara kedua-dua negara, menurut Kementerian Luar India pada Sabtu (12 Sep) selepas kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan.

Lawatan Encik Xi ke New Delhi bagi menghadiri sidang puncak BRICS yang mempunyai 11 anggota itu mendapat perhatian kerana ia merupakan lawatan pertama beliau ke negara jiran India sejak 2019, selain menjadi langkah terbesar setakat ini dalam usaha memperbaiki hubungan antara kedua-dua negara yang memiliki senjata nuklear itu.

“Meskipun kedua-dua negara kami berbeza dalam pelbagai aspek, kedua-duanya mampu melengkapi kekuatan satu sama lain, saling menyokong, mencapai kejayaan bersama dan bergerak maju bersama,” kata Encik Xi ketika bertemu Encik Modi.

Kementerian Luar India menyatakan kedua-dua pemimpin komited untuk menyelesaikan isu sempadan dengan adil, munasabah dan persetujuan bersama.

Encik Modi “menekankan peri perlunya kedua-dua pihak mematuhi perjanjian dan persefahaman sedia ada berkaitan isu sempadan”.

Kementerian Luar China pula menyatakan kedua-dua pihak perlu terus komited untuk memajukan hubungan dua hala dan menyelesaikan isu sempadan, mencapai kemajuan selari yang saling mengukuhkan, serta mengekalkan keamanan dan ketenteraman di kawasan sempadan.

Kementerian itu menyatakan kedua-dua Encik Xi dan Encik Modi mengadakan “pertukaran pandangan yang ikhlas dan mendalam serta mencapai kata sepakat penting bahawa China dan India harus menjadi rakan kongsi”.

Pemimpin China itu melakukan lawatan tersebut enam tahun selepas pertempuran maut antara tentera kedua-dua negara di sempadan yang dipertikaikan.

Sejak itu, hubungan kedua-dua negara beransur-ansur pulih menerusi penyambungan semula penerbangan, visa dan hubungan peringkat tinggi.

Pertikaian wilayah yang menjadi punca utama ketegangan itu masih belum diselesaikan, dengan kedua-dua pihak mengekalkan penempatan sejumlah besar anggota tentera di sempadan tanah tinggi sepanjang sekitar 3,500 kilometer yang merentasi Tibet.

“Perbezaan tidak seharusnya menjadi pertikaian,” menurut kenyataan Kementerian Luar India.

Sementara itu, Kementerian Luar China menyatakan India mempunyai dasar luar yang “bebas”, dan bahawa “usaha memupuk hubungan dengan China tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak ketiga”.

RAKAN KONGSI DAN BUKAN PESAING

Menurut Kementerian Luar China, Encik Xi berkata: “China dan India ialah rakan kongsi, bukan pesaing, serta peluang pembangunan, dan bukannya ancaman, kepada satu sama lain.”

Isu perdagangan turut menjadi tumpuan pertemuan itu.

China kini merupakan rakan dagang terbesar India, dengan perdagangan barangan dua hala mencecah AS$151 bilion (S$191 bilion) pada tahun kewangan 2025 hingga 2026, menurut data pemerintah India.

Namun, hubungan perdagangan itu sangat memihak kepada Beijing. India mengimport barangan bernilai AS$131 bilion (S$166 bilion) dari China, manakala eksportnya bernilai AS$19 bilion (S$24 bilion), menghasilkan defisit perdagangan rekod sebanyak AS$112 bilion (S$142 bilion).

Kedua-dua pemimpin “menekankan perlunya menangani kebimbangan satu sama lain, termasuk ketidakseimbangan struktur perdagangan dan isu rantaian bekalan, serta memudahkan akses pasaran yang bermakna dan boleh dijangka”.

Kementerian ehwal luar China menyatakan India akan memberi "sokongan penuh" kepada China sebagai pengerusi BRICS pada tahun depan.

Semasa sidang puncak itu, Encik Xi berkata BRICS perlu menjadi “peneraju dalam menegakkan keamanan dan kestabilan”.

“Kita perlu melaksanakan wawasan keselamatan bersama, menyeluruh, bersifat kerjasama dan mampan, menolak mentaliti Perang Dingin dan konfrontasi blok, serta menentang pencabulan kedaulatan negara lain atau campur tangan dalam urusan dalaman negara lain,” kata Encik Xi.

"China akan bekerjasama dengan negara-negara anggota BRICS untuk memainkan peranan yang sewajarnya dalam usaha mewujudkan keamanan dan kestabilan di Timur Tengah."
Sumber : Agensi berita/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita