Skip to main content

Dunia

Misi tentera AS di Afghanistan berakhir 31 Ogos

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengumumkan pada Khamis (8 Jul) bahawa misi tentera Amerika Syarikat di Afghanistan akan berakhir pada 31 Ogos, hampir 20 tahun selepas ia dilancarkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Misi tentera AS di Afghanistan berakhir 31 Ogos

Presiden Joe Biden. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 09 Jul 2021 08:11AM Dikemas Kini : 09 Jul 2021 08:15AM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengumumkan pada Khamis (8 Jul) bahawa misi tentera Amerika Syarikat di Afghanistan akan berakhir pada 31 Ogos, hampir 20 tahun selepas ia dilancarkan.

Tentera Amerika Syarikat sudahpun "mencapai" matlamatnya di negara itu - membunuh Osama Bin Laden, menghakis pengaruh Al-Qaeda dan mencegah lebih banyak serangan ke atas Amerika Syarikat, kata Presiden Biden dalam ucapannya di Rumah Putih.

"Kami akan menamatkan perang paling lama Amerika Syarikat," kata beliau.

"Keadaan semasa ini bukan satu pilihan," ujar Presiden Biden tentang meneruskan misi tentera Amerika Syarikat di negara tersebut. "Saya tidak akan mengerahkan lagi satu generasi rakyat Amerika untuk berperang di Afghanistan."

"Amerika Syarikat tidak mampu terus terikat dengan dasar yang dilakarkan untuk bertindak balas terhadap keadaan dunia 20 tahun lalu," tegas beliau. "Kita harus menangani ancaman semasa."

Presiden Biden turut menekankan bahawa Amerika Syarikat "tidak akan ke Afghanistan untuk membangunkan sebuah negara."

"Ia adalah hak dan tanggungjawab rakyat Afghanistan untuk menentukan masa depan mereka sendiri."

Presiden Biden berikrar akan terus membantu pemerintah Afghanistan dan pasukan keselamatannya di samping memberikan jaminan kepada beribu-ribu penterjemah warga Afghanistan yang diancam Taliban bahawa mereka boleh mendapatkan perlindungan di Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Presiden Biden berkata beliau yakin tentera Afghanistan mampu mempertahankan negara itu daripada Taliban yang semakin memperluaskan pengaruhnya sejak awal tahun ini.

Ditanya jika rampasan kuasa oleh Taliban "tidak dapat dielakkan", beliau menegaskan: "Tidak. Ia tidak akan berlaku." 

Sumber : AFP/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita