Misi selamatkan 7 penduduk kampung terperangkap dalam gua di Laos diteruskan
Para penyelamat berusaha untuk menyelamatkan tujuh penduduk kampung yang terperangkap dalam gua di wilayah Xaisomboun, Laos, 25 Mei 2026. (Gambar: Metta Tham Rescue Kalasin via AP)
- Tujuh penduduk kampung di Xaisomboun, Laos terperangkap dalam gua sejak 19 Mei akibat banjir kilat selepas hujan lebat.
- Operasi menyelamat masuk hari ketujuh melibatkan pasukan Laos dan Thailand, dengan cabaran laluan sukar, cuaca buruk, dan gua sempit serta berlumpur.
- Penduduk dipercayai masuk gua untuk mendulang emas walaupun sudah dilarang pihak berkuasa atas faktor keselamatan.
- Pasukan penyelamat berusaha mengepam air, memeriksa lubang udara, dan menggunakan kepakaran antarabangsa untuk mencari laluan alternatif dan menyelamat mangsa.
Pasukan penyelamat berdepan laluan jalan yang sukar dan cuaca yang amat mencabar dalam usaha mengesan kumpulan itu yang keadaannya masih belum diketahui.
Kesemua penduduk terbabit memasuki gua yang terletak di wilayah Xaisomboun itu pada 19 Mei, namun hujan lebat mencetuskan banjir kilat yang menyekat laluan keluar, menurut pasukan penyelamat Laos dan Thailand yang terlibat dalam operasi tersebut.
Pertubuhan penyelamat Laos, Rescue Volunteer for People, yang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan, memaklumkan menerusi laman Facebook mereka bahawa pelan operasi pada Selasa termasuk memeriksa lubang udara di bahagian atas gua.
Langkah ini diharap dapat mengenal pasti laluan masuk alternatif dan mengesan kedudukan mangsa yang terperangkap.
Pasukan penyelamat dari negara jiran, Thailand, turut tiba di lokasi kejadian pada hujung minggu lalu bagi membantu operasi.
Media rasmi pemerintah Laos melaporkan bahawa pakar-pakar dari Thailand - yang pernah membantu dalam misi menyelamat dramatik pasukan bola sepak remaja dari sebuah gua di Thailand pada tahun 2018 - sudah menyertai usaha menyelamat itu pada Isnin untuk membawa keluar tujuh mangsa berkenaan.
KEADAAN MENCABAR HAMBAT USAHA MENYELAMAT
Menurut pasukan penyelamat, pasukan penyelam berjaya meredah sekitar 100 meter ke dalam gua yang sempit dan dipenuhi air itu.
Mereka percaya penduduk kampung berkenaan mungkin terperangkap kira-kira 30 meter di luar titik paling jauh yang boleh diakses pada masa ini.
Pihak penyelamat kini sedang bertungkus-lumus mengepam air keluar dari gua bagi memudahkan pencarian.
Lokasi kejadian terletak di kawasan terpencil di daerah Longcheng, wilayah Xaisomboun, iaitu kira-kira 120 kilometer ke utara ibu negara, Vientiane.
Di media sosial, para penyelamat di lokasi menggambarkan bentuk muka bumi pergunungan yang mencabar serta hujan lebat menjadi penghalang besar kepada operasi.
Video yang dikongsikan oleh penyelamat Thailand menunjukkan bahawa untuk sampai ke pintu masuk gua, mereka perlu berjalan kaki mendaki laluan curam sejauh kira-kira 4 kilometer.
Pintu masuk gua itu juga sangat curam, berbatu, dan hanya muat untuk dilalui oleh seorang sahaja pada satu-satu masa.
Di dalam gua pula, pasukan penyelamat terpaksa mengharungi laluan berlumpur, kawasan yang ditenggelami air, dan terowong sempit yang memaksa mereka merangkak ke hadapan.
PENDUDUK DILAPOR SEDANG MENDULANG EMAS
Setakat ini belum ada pengesahan rasmi mengenai tujuan sebenar penduduk kampung itu memasuki gua tersebut, walaupun pasukan penyelamat yang terlibat berkata mereka masuk untuk mencari hasil emas.
Bounkham Luanglath daripada kumpulan penyelamat Laos memberitahu agensi berita Associated Press bahawa gua itu sering dikunjungi penduduk tempatan untuk mencari emas, walaupun pihak berkuasa sudah berulang kali melarang mereka masuk atas faktor keselamatan.
Purata pendapatan per kapita di Laos adalah sekitar AS$2,000 hingga AS$2,500 (kira-kira S$2,700 hingga S$3,300), antara yang terendah di Asia Tenggara, dan bilangannya jauh lebih rendah di kawasan luar bandar yang kurang membangun.
Laos tidak dikenali sebagai pengeluar utama emas, namun industri perlombongannya agak besar jika mengambil kira ekonomi negara itu yang sedang membangun.
Sektor perlombongan ini dipacu oleh pelaburan langsung asing (FDI), sebahagian besarnya dari Thailand dan China.
Tembaga merupakan eksport utama mereka, manakala perlombongan unsur nadir bumi yang diperlukan untuk kebanyakan teknologi moden kini semakin rancak dijalankan di Laos.
Kementerian Luar Laos pada Selasa menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai maklumat rasmi untuk dikongsikan kepada pihak media.
Negara Asia Tenggara itu merupakan sebuah negara komunis satu parti tanpa pembangkang yang tersusun, dan pemerintahnya mengawal ketat penyebaran maklumat.
MISI MENYELAMAT GUA BERISIKO TINGGI
Berita ini dengan pantas menjadi tajuk utama di Thailand kerana situasinya yang menyamai insiden menyelamat gua yang dramatik di utara Thailand pada 2018.
Dalam kejadian itu, 12 kanak-kanak lelaki dan jurulatih bola sepak mereka terperangkap selama lebih dua minggu sebelum berjaya diselamatkan dalam operasi yang menarik perhatian dunia.
Seorang bekas penyelam tentera laut (SEAL) Thailand terkorban semasa operasi tersebut.
Satu lagi tragedi berlaku awal bulan ini apabila lima penyelam Itali ditemukan maut selepas hilang ketika menyelam di dalam sebuah gua di Maldives.
Seorang penyelam tentera Maldives yang merupakan sebahagian daripada pasukan pemulihan turut terkorban dalam operasi berisiko tinggi untuk membawa keluar mayat-mayat tersebut.
Antara risiko kesihatan utama apabila terperangkap di dalam gua termasuklah keadaan suhu sejuk yang boleh mengakibatkan hipotermia dengan cepat.
Tubuh manusia mampu bertahan selama berminggu-minggu tanpa makanan, tetapi air bersih amat diperlukan untuk mencegah dehidrasi (kekurangan air dalam badan).
Sumber air yang tercemar pula boleh menyebabkan cirit-birit, sekali gus mempercepatkan dehidrasi.
Tahap oksigen yang semakin berkurangan boleh menyebabkan gejala yang serupa dengan penyakit altitud dan, dalam jangka panjang, boleh merosakkan paru-paru serta organ lain.
Sementara itu, pengumpulan gas karbon dioksida pula boleh mengakibatkan keletihan melampau dan akhirnya tidak sedarkan diri.
Keadaan gelap gelita yang berterusan juga boleh mengganggu persepsi waktu dan sistem jam biologi tubuh.
Ia turut menyebabkan mata menjadi sangat sensitif apabila terpaksa menyesuaikan diri semula dengan cahaya terang nanti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.