Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla dijangka masuk Zon Merah sekitar pukul 9.00 malam ini
Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka memasuki Zon Merah R3, iaitu zon berisiko tinggi, kira-kira 100 batu nautika dari Gaza, sekitar pukul 9.00 malam ini (waktu tempatan).
Kapal-kapal Flotila Global Sumud ke Gaza dilihat berlabuh berhampiran sebuah pulau Greece. (Gambar: AFP)
Demikian menurut Menteri Komunikasi Malaysia Fahmi Fadzil yang berkata perkara itu disahkan Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) menerusi laporan yang diterimanya.
Encik Fahmi berkata SNCC juga mengesahkan berlaku cubaan kapal yang diyakini milik Israel menghampiri flotila yang pada waktu ini masih berada di perairan antarabangsa.
“Tetapi bot-bot dalam Global Sumud Flotilla dijangka memasuki Zon Merah dalam tempoh mungkin beberapa jam dari sekarang.
“Perkembangan tersebut menjadi tumpuan kerana flotila kini semakin hampir dengan perairan bergolak Gaza,” kata Encik Fahmi semasa sidang media mingguan, seperti dipetik oleh Astro Awani.
Selain itu, katanya, pemantauan turut merekodkan kehadiran lebih 10 unit dron di ruang udara kawasan terbabit.
“Walaupun keadaan ini membimbangkan, setakat ini belum berlaku sebarang pintasan fizikal terhadap bot-bot flotila.
“Semua delegasi berada dalam keadaan berjaga-jaga termasuk persediaan sekiranya bot-bot mereka dipintas dan terputus hubungan dan beberapa perkara juga sudah dimaklumkan dan kita akan ikut prosesnya,” katanya.
Encik Fahmi menjelaskan, siaran langsung menerusi CCTV di atas kapal dipancarkan untuk tontonan dunia, sekali gus membolehkan masyarakat antarabangsa mengikuti rapat perkembangan misi berkenaan.
Beliau menambah, misi GSF juga memainkan peranan penting dalam membina naratif perdamaian di Gaza di samping mengetengahkan perpaduan masyarakat antarabangsa terhadap penderitaan rakyat Palestin, lapor Astro Awani.
Flotila antarabangsa itu kini memasuki fasa ketiga, dengan penyertaan lebih ramai aktivis kemanusiaan termasuk dari Malaysia. Ia digerakkan bersama oleh pelbagai pertubuhan bukan pemerintah (NGO) bagi menyalurkan bantuan terus ke Gaza.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.