Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Minyak masak berkurangan di Pulau Pinang; kegiatan penyelewengan disiasat

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengenal pasti punca berlaku kekurangan bekalan minyak masak paket bersubsidi di negeri itu berikutan terdapat kegiatan penyelewengan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Anggaran Waktu Membaca:
Minyak masak berkurangan di Pulau Pinang; kegiatan penyelewengan disiasat

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar (kiri). (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 08 Jan 2022 03:42PM Dikemas Kini : 08 Jan 2022 03:43PM

BUTTERWORTH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengenal pasti punca berlaku kekurangan bekalan minyak masak paket bersubsidi di negeri itu berikutan terdapat kegiatan penyelewengan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pengarahnya Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata berikutan itu, pihaknya meningkatkan risikan dan intipan di gudang serta kilang yang menjalankan pembungkusan serta pemborong bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan barangan itu.

"Kami ada terima aduan berhubung kekurangan bekalan minyak masak paket sama ada melalui media sosial atau secara rasmi. Saya memandang serius mengenai perkara tersebut, malah kami akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab melakukan penyelewengan,” katanya kepada pemberita hari ini (8 Jan).

Beliau ditemui selepas membuat tinjauan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di pekarangan Masjid At-Taqwa di Mak Mandin di Butterworth.

Mengulas lanjut, Encik Mohd Ridzuan berkata terdapat 25 syarikat yang menjalankan pembungkusan minyak masak paket dan 500 pemborong di Pulau Pinang ketika ini, dengan pemantauan serta risikan turut dijalankan ke atas mereka bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan.

"Hasil maklumat dan risikan yang dibuat, baru-baru ini (24 Dis) kami telah menyerbu sebuah premis tidak berlesen di Bagan Ajam di sini yang menjalankan kegiatan pemindahan minyak bersubsidi membabitkan 20 tan minyak masak dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan pihak yang terlibat.

Menurut beliau, modus operandi yang digunakan sindiket itu ialah dengan mengupah pihak ketiga bagi menguruskan pemindahan minyak dan mereka dipercayai menjalankan kegiatan tersebut lebih tiga bulan lalu.

Mengenai PJKM, beliau berkata sebanyak 13 program jualan berkenaan sudahpun diadakan di Pulau Pinang sejak Disember tahun lalu. Ia akan diteruskan sehingga Mac berikutan sambutan yang memberangsangkan.

"Penganjuran PJKM akan diadakan dua kali sebulan secara bergilir di setiap Parlimen dengan menumpukan lokaliti penduduk dalam kalangan B40 dan M40. Sambutan diterima sangat menggalakkan daripada penduduk setempat dan ramai tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan yang dijual murah antara lima hingga 20 peratus," ujarnya.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan