Minggu pertama COP26 selesai, tunjuk perasaan besar-besaran menuntut tindakan segera diambil
COP26: Lebih 100,000 orang berarak di jalan-jalan raya Glasgow, manakala lebih 200 acara merata dunia menggesa pemerintah tingkatkan tindakan terhadap pemanasan bumi.
Kanak-kanak turut ambil bahagian dalam tunjuk perasaan di Glasgow pada 6 Nov 2021 semasa sidang COP26. (Gambar: DANIEL LEAL-OLIVAS/AFP)
GLASGOW: Lebih 100,000 orang berarak di jalan-jalan raya Glasgow, Scotland sedang sidang iklim COP26 berlangsung.
Antara mereka adalah para aktivis Asia Tenggara yang tidak mahu melepaskan peluang untuk mewakili keperluan masyarakat masing-masing.
Menurut Triana Wardani, Setiausaha Agung Seruni, mereka ke Glasgow untuk menyuarakan keprihatinan golongan wanita dan kanak-kanak perempuan Indonesia.
Mereka juga mewakili negara-negara membangun yang paling terjejas oleh pemanasan suhu bumi.
Para aktivis negara-negara tersebut menuntut bantuan untuk menangani perubahan iklim.
Seorang pelajar Malaysia dari Manchester juga turun padang bersama 10 rakan senegaranya.
Hailey Tan mahu mempertahankan hak-hak orang pribumi Malaysia yang tidak dapat hadir.
Turut diketengahkan adalah pemberian vaksin COVID-19 yang lambat di beberapa negara.
TUNJUK PERASAAN GLOBAL
Dan sedang Sidang Puncak COP26 itu dijadual mengakhiri minggu pertama hari ini, lebih 200 acara merata dunia menuntut agar tindakan segera dijalankan bagi masyarakat yang terjejas dengan perubahan iklim.
Misalnya, di Dataran Trafalgar di London ribuan penunjuk perasaan melakukan bantahan.
Mereka menggesa pemerintah merata dunia untuk meningkatkan tindakan terhadap pemanasan bumi.
Presiden COP26 Alok Sharma, bagaimanapun berkata meski ada kemajuan kali ini, perjalanannya masih jauh lagi.
" Ini adalah COP yang mana kita mahu lihat perlaksanaannya. Terdapat janji yang dibuat di Paris. Jadi mungkin boleh saya katakan begini: Paris janji dibuat, Glasgow mesti melaksanakannya," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.