Mikroplastik ditemukan dalam air hujan Jakarta, kajian beri amaran risiko pencemaran
Zarah mikroplastik berbahaya dikesan dalam air hujan Jakarta, menurut Badan Penyelidikan dan Inovasi Nasional (BRIN) Indonesia, ekoran kajian selama bertahun-tahun ke atas sampel hujan yang dikumpul di seluruh ibu negara sejak 2022.
Zarah mikroplastik berbahaya dikesan dalam air hujan di Jakarta. (Gambar hiasan: REUTERS)
Penyelidik BRIN Muhammad Reza Cordova berkata mikroplastik ditemui dalam setiap sampel yang dikumpul dari kawasan yang berbeza di Jakarta.
"Mikroplastik ini datang daripada serat sintetik dalam pakaian, habuk kenderaan dan tayar, sisa daripada plastik yang dibakar dan plastik yang terurai di tempat terbuka," kata Encik Cordova dalam kenyataan bertulis pada Khamis (16 Okt), lapor agensi berita ANTARA.
Beliau menyatakan bahawa sampel terutamanya mengandungi poliester, nilon, polietilena, polipropilena dan polibutadiena, muncul sebagai serat sintetik dan serpihan plastik.
Secara purata, penyelidik menemui 15 zarah mikroplastik semeter persegi sehari dalam sampel yang dikumpul dari kawasan pesisir Jakarta.
Encik Cordova menjelaskan, mikroplastik terhasil daripada pemendapan atmosfera ketika zarah plastik bawaan udara bercampur dengan kitaran air dan kembali ke Bumi bersama hujan.
"Kitaran plastik tidak berhenti di laut; ia dibawa oleh angin ke langit dan turun semula bersama hujan," katanya, sambil menjelaskan yang air hujan sedemikian boleh mencemari air permukaan dan memasuki rantaian makanan.
Penemuan tersebut mencetuskan kebimbangan pencemaran udara, kerana kesemua zarah itu boleh memasuki tubuh manusia melalui udara atau air.
"Air hujan itu sendiri tidak berbahaya; bahagian yang berbahaya ialah mikroplastik yang mengandungi bahan tambahan kimia atau menyerap bahan pencemar," kata Encik Cordova.
Beliau berkata kajian global menunjukkan mikroplastik boleh menyebabkan tekanan oksidatif, gangguan hormon dan kerosakan tisu pada manusia.
Untuk menangani masalah itu, beliau menggesa usaha merentasi sektor yang lebih kuat, termasuk menambah baik pengurusan sisa plastik dan kemudahan kitar semula, mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan memasang penapis dalam mesin basuh untuk memerangkap serat sintetik.
Beliau juga menyeru para penduduk untuk mengurangkan penggunaan plastik, mengasingkan sisa isi rumah dan mengelakkan pembakaran sampah, sambil menyatakan yang amalan sedemikian menjana mikroplastik yang "kembali kepada manusia dengan cara yang lebih halus, senyap dan berbahaya."
"Langit Jakarta mencerminkan tingkah laku manusia di bawahnya," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.