Skip to main content

Dunia

Microsoft umum gangguan khidmat selepas kabel dasar laut dipotong di Laut Merah

Anggaran Waktu Membaca:
Microsoft umum gangguan khidmat selepas kabel dasar laut dipotong di Laut Merah

illustrasi kakitangan terima aduan gangguan khidmat. (Gambar: Reuters)

WASHINGTON: Microsoft mengesahkan bahawa perkhidmatan cloud Azure mengalami gangguan akibat beberapa pemotongan kabel dasar laut di Laut Merah, yang menjejaskan sambungan data antara rantau Asia, Timur Tengah dan Eropah.

Dalam kemas kini status kesihatan perkhidmatan yang dikeluarkan pada Sabtu (6 Sep), syarikat itu memaklumkan bahawa pengguna Azure mungkin mengalami kelewatan sambungan (latensi) yang lebih tinggi daripada biasa.

Gangguan itu memberi kesan kepada trafik data yang merentasi rantau-rantau utama, terutamanya bagi pertubuhan yang bergantung kepada sambungan rentas wilayah untuk aplikasi dan perkhidmatan digital mereka.

“Pemotongan kabel dasar laut mengambil masa untuk dibaiki. Kami akan terus memantau, mengimbangi semula, dan mengoptimumkan laluan trafik bagi mengurangkan kesan kepada pelanggan,” kata Microsoft dalam kenyataan rasmi mereka.

Sebagai langkah sementara, Microsoft mengalihkan trafik Azure melalui laluan alternatif, namun ia menyebabkan peningkatan latensi dan kemungkinan gangguan prestasi bagi sesetengah pengguna.

Azure merupakan penyedia khidmat cloud kedua terbesar di dunia selepas Amazon Web Services (AWS), dan digunakan secara meluas oleh syarikat global untuk aplikasi perusahaan, pembangunan perisian, dan penyimpanan data.

Microsoft turut menasihatkan pelanggan untuk mengikuti makluman kesihatan perkhidmatan dan bersedia menghadapi kelewatan berkala sehingga kerja pembaikan kabel selesai.

Gangguan kabel dasar laut bukanlah perkara luar biasa, namun proses pemulihannya sering rumit dan memakan masa.

Kejadian itu sekali lagi menekankan kebergantungan global terhadap infrastruktur komunikasi dasar laut dan keperluan untuk pelan pemulihan rangkaian yang lebih tangkas dalam era digital.

Sumber : Reuters/HZ/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita