Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Microsoft siasat isu gangguan pada khidmat Teams, Outlook

Anggaran Waktu Membaca:
Microsoft siasat isu gangguan pada khidmat Teams, Outlook

(Gambar: Fabrice Coffrini/AFP)

Diterbitkan : 25 Jan 2023 05:17PM Dikemas Kini : 25 Jan 2023 05:20PM
REUTERS: Microsoft menyatakan pada Rabu (25 Jan) ia sedang menyiasat satu isu yang menjejaskan beberapa khidmat, termasuk Teams dan Outlook.

Menurut laporan-laporan mengenai gangguan itu, wadah-wadah tersebut tidak dapat berfungsi dan ia menjejas ribuan pengguna di merata dunia, lapor Reuters.

Dalam satu kemas kini pada pukul 4.15 petang waktu Singapura, gergasi teknologi itu menyatakan ia sudah mengenal pasti "masalah rangkaian yang berpotensi dan sedang memeriksa pengumpulan data untuk menentukan langkah-langkah seterusnya bagi menghuraikan isu tersebut".

Microsoft tidak mendedahkan jumlah pengguna yang terjejas oleh gangguan tersebut, namun data daripada laman pengesanan gangguan Downdetector menunjukkan lebih 3,900 insiden dilaporkan di India dan lebih 900 pula di Jepun. Laporan mengenai gangguan pada wadah-wadah tersebut turut disaksikan di Australia, Britain dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Laman Downdetector mengesan gangguan dengan mengumpul laporan status daripada pelbagai sumber, termasuk ralat yang diserahkan oleh pengguna di wadahnya.

Sewaktu gangguan tersebut, kebanyakan pengguna tidak dapat menghantarkan pesanan mesej, menyertai panggilan atau menggunakan sebarang ciri aplikasi Team.

Ramai pengguna berkongsi di Twitter tentang kemas kini berhubung gangguan khidmat tersebut, dengan tanda pagar #MicrosoftTeams menjadi tren di wadah media sosial tersebut.

Microsoft Teams, yang digunakan oleh lebih 280 juta orang di seluruh dunia, memainkan peranan penting dalam operasi harian perniagaan dan sekolah.

Para pengguna menggunakan khidmat tersebut untuk membuat panggilan, menjadualkan mesyuarat dan menyusun aliran kerja mereka.
Sumber : Reuters/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa