Skip to main content

Dunia

Microsoft akan berhentikan sekitar 9,000 pekerja; pemotongan terbesar sejak 2023

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Jul 2025 08:49AM Dikemas Kini : 03 Jul 2025 11:17PM
NEW YORK: Microsoft akan memberhentikan ribuan pekerja, pemotongan pusingan ketiga sejak beberapa bulan kebelakangan ini, menurut syarikat tersebut pada Rabu (2 Jul).

Pemotongan kakitangan itu dijangka akan menjejas kurang 4 peratus daripada jumlah tenaga kerja syarikat tersebut, atau sekitar 9,000 pekerja, menurut jurucakap syarikat berkenaan.

Ia juga menandakan pemberhentian pekerja terbesar oleh gergasi teknologi itu sejak ia memberhentikan 10,000 pekerja pada 2023 dan dilakukan di tengah-tengah pemotongan tenaga kerja di tempat-tempat lain dalam industri teknologi.

Saham Microsoft tidak berubah berikutan pengumuman itu.

"Kami akan terus melaksanakan perubahan yang diperlukan untuk meletakkan syarikat ini dan pasukan terbaik kami untuk berjaya dalam pasaran yang dinamik," kata jurucakap Microsoft dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa syarikat itu mengurangkan lapisan pengurusan dan menjadikan pekerja lebih produktif dengan teknologi baharu.

Pemotongan kakitangan juga dilakukan sedang syarikat-syarikat teknologi, termasuk Microsoft, menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menjadikan tenaga kerja mereka lebih cekap. Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft Satya Nadella berkata awal tahun ini bahawa 20% hingga 30% daripada kod syarikat sedang dijana oleh AI, dan syarikat itu mencurahkan berbilion-bilion dolar ke dalam pelaburan infrastruktur AI.

Sungguhpun demikian, tidak jelas sama ada AI menyumbang secara langsung kepada pemotongan pekerja dan bahagian Microsoft mana yang dijangka terjejas.

The Verge melaporkan bahawa ketua Xbox Phil Spencer menghantar nota dalaman yang mengatakan bahawa kakitangannya akan terjejas. Bloomberg juga sebelum ini melaporkan bahawa pemberhentian pekerja yang dirancang pada Julai akan menyasarkan penjualan dan pasukan Xbox.

Pemotongan pekerja terbaharu ini diumumkan selepas Microsoft memberhentikan 3 peratus kakitangannya, kira-kira 7,000 pekerja, pada Mei lalu.

Setakat sehingga Julai 2024, iaitu kali terakhir sejak Microsoft secara rasmi melaporkan jumlah pekerjanya, syarikat tersebut menggajikan seramai 228,000 pekerja.

Syarikat-syarikat teknologi lain juga telah melakukan pemberhentian pekerja pada tahun ini, termasuk Meta dan Bumble. Ketua Pegawai Eksekutif Amazon Andy Jassy juga memberi amaran kepada kakitangannya pada bulan lalu bahawa AI akhirnya akan membantu syarikat mengurangkan bilangan pekerja.

Microsoft menyatakan pada April lalu bahawa keuntungan suku tahunannya telah meningkat 18% kepada AS$25.8 bilion dalam tempoh tiga bulan yang berakhir pada 31 Mac, berdasarkan prestasi kukuh untuk perniagaan pengkomputeran cloud dan perkhidmatan AInya.

Syarikat itu dijangka akan mengeluarkan hasil pendapatan suku keempat pada hujung bulan ini.
Sumber : CNN/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita