Michelle Obama tidak akan bertanding bagi jawatan presiden 2024 walaupun timbul khabar angin
Isteri kepada mantan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, Michelle Obama tidak akan bertanding dalam pilihan raya presiden 2024 walaupun terdapat khabar angin yang mencadangkan sebaliknya, demikian menurut pejabatnya pada Selasa (5 Mac), seperti dinukil Sputnik.
(Gambar: Getty Images)
Barack Obama sudah beberapa kali mengatakan beliau menyokong sepenuhnya Presiden Amerika Syarikat Joe Biden untuk bertanding bagi penggal kedua, meskipun timbul khabar angin tentang kemungkinan Michelle Obama akan bertanding dalam pilihan raya tersebut.
Parti Demokratik juga sudah mengadakan perbincangan tertutup tentang kemungkinan menggantikan Biden dengan Michelle Obama dalam kempen pilihan raya, menurut laporan media.
Namun, pejabat Obama menyangkal khabar angin tersebut.
"Seperti yang disuarakan oleh Wanita Pertama Michelle Obama beberapa kali sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, beliau tidak akan bertanding untuk jawatan presiden. Cik Obama menyokong kempen pelantikan semula Presiden Joe Biden dan Naib Presiden Kamala Harris," kata pengarah perhubungan di pejabatnya, Crystal Carson kepada NBC News.
Selain itu, sumber rapat dengan hal itu memberitahu penyiar tempatan tersebut bahawa mantan wanita pertama itu berhasrat membantu dalam kempen pilihan raya Biden pada musim luruh ini seperti yang dilakukannya empat tahun lalu.
Amerika Syarikat dijadual mengadakan pilihan raya presiden 2024 pada 5 November ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.