Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Michael Bloomberg minta maaf atas kritikan Boris Johnson terhadap China di sebuah forum di SG

Anggaran Waktu Membaca:
Michael Bloomberg minta maaf atas kritikan Boris Johnson terhadap China di sebuah forum di SG

Gambar: Nicholas Kamm—AFP/Getty Images

BEIJING: Michael Bloomberg meminta maaf minggu lalu di forum perniagaan anjuran agensi berita yang diasaskannya berhubung kenyataan mantan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson yang mengkritik China sebagai sebuah negara yang autokratik

Kontroversi itu menarik perhatian pengaruh China di Asia dan kepekaan terhadap kritikan terbuka terhadap Beijing.

Encik Bloomberg, mantan datuk bandar New York yang bertanding untuk jawatan presiden Amerika Syarikat (AS) pada 2020 memohon maaf pada Khamis (17 Nov) di Forum Ekonomi Baru Bloomberg di Singapura.

Forum tersebut menghimpunkan masyarakat perniagaan dan para penceramah termasuk Naib Presiden China Wang Qishan serta anggota delegasinya yang juga terdiri daripada ahli perniagaan China.

"Ada yang mungkin rasa terhina ataupun tersinggung dengan sebahagian daripada kenyataan para penceramah tertentu yang merujuk kepada negara-negara tertentu dan pemimpin mereka," kata Encik Bloomberg dalam hantaran Twitternya.

Merujuk kepada Encik Johnson, Encik Bloomberg berkata "Itu adalah pemikirannya beliau sahaja, tidak diluluskan oleh sesiapa atau dikongsi dengan saya secara peribadi. Kepada anda yang kecewa dan prihatin dengan apa yang dikatakan oleh beliau, saya memohon maaf."

Jurucakap Bloomberg LP, termasuk Bloomberg News dan di mana Michael Bloomberg adalah Ketua Pegawai Eksekutif, enggan mengulas kepada Reuters.

Encik Johnson yang meletak jawatan sebagai pemimpin Britain pada September, mengkritik sistem dan pemimpin politik China dan Rusia dalam ucapannya pada Rabu (16 Nov).

Encik Johnson berkata bahawa Beijing dan Mosko sanggup tunjukkan sikap tidak menghiraukan undang-undang antarabangsa dan sepanjang tahun lalu "menunjukkan batasan besar sistem politik mereka dengan kesilapan besar yang mereka lakukan".

Kementerian luar China tidak menjawab permintaan Reuters untuk memberikan komen.

Jurucakap Encik Johnson berkata mantan pemimpin itu diundang oleh Encik Bloomberg sendiri dan kritikan beliau itu ditujukan kepada pemerintah China dan bukan negara atau rakyatnya.

Encik Bloomberg tidak menyatakan sama ada permohonan maaf beliau itu ditujukan kepadarakyat China atau Rusia.

Namun beliau memakai lencana kecil bendera Ukraine pada kotnya dan mengutuk "pencerobohan kejam" Presiden Rusia Vladimir Putin ke atas negara jiran Ukraine dan mengumumkan bahawa Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy akan hadir pada forum itu dari jauh.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan