Skip to main content

Dunia

MH370 mungkin boleh ditemui dalam 'beberapa hari' dengan pencarian baharu, dakwa pakar

Anggaran Waktu Membaca:
MH370 mungkin boleh ditemui dalam 'beberapa hari' dengan pencarian baharu, dakwa pakar

Anggota keluarga penumpang MH370 menulis di belon di satu acara peringatan di Kuala Lumpur. (Gambar fail: REUTERS/Olivia Harris)

Diterbitkan : 26 Dec 2023 03:05PM
PETALING JAYA: Para pakar menggesa pencarian baharu bagi pesawat MH370 Malaysia Airlines yang hilang menyusuli petunjuk baharu yang dijangka akan membantu mengesan pesawat tersebut.

Pakar aeroangkasa Jean-Luc Marchand dan juruterbang Patrick Blelly menggesa pencarian baharu berdasarkan pendedahan tentang nasib penerbangan malang itu.

Mereka berdua mendakwa bahawa misteri di sebalik kehilangan M370 boleh dihuraikan dalam masa "beberapa hari" jika pencarian baharu dijalankan.

Semasa menyampaikan ceramah di hadapan Persatuan Aeronautik Diraja, pasangan itu berkata kawasan pencarian baharu itu boleh dikenal pasti dalam masa 10 hari jika permintaan untuk mendapatkan bantuan disuarakan secara terbuka.

“Ia boleh menjadi perkara yang pantas. Selagi serpihan-serpihan MH370 tidak ditemui, maka tiada siapa yang tahu (apa yang berlaku). Tetapi, ini adalah trajektori yang munasabah,” kata Marchand, menurut laman berita Australia news.com.au.

Encik Marchand berkata pencarian "pantas" boleh menjadi alasan yang baik untuk memanfaatkan teknologi pencarian sub-nautika tanpa pemandu syarikat itu.

Encik Marchad turut menyifatkannya sebagai "perjalanan sehala yang mengerikan", yang beliau percaya mungkin boleh dilakukan oleh juruterbang kapal terbang yang berpengalaman.

"Kami fikir, dan kajian yang telah kami lakukan telah menunjukkan kepada kami, bahawa perampasan pesawat itu mungkin dilakukan oleh seorang juruterbang yang berpengalaman," kata Encik Marchad.

“Tekanan dalam kabin itu sudah diturunkan ... dan ia dilakukan untuk menghasilkan serpihan yang minimum. Ia dilakukan supaya pesawat tidak terperangkap atau ditemui.

“Pastinya, pesawat itu tidak dapat dilihat kecuali bagi pihak tentera. Pelaku tahu bahawa jika operasi mencari dan menyelamat dilancarkan, ia akan berada di laluan penerbangan.”

Pasangan itu berhujah bahawa transponder pesawat telah dimatikan dan "pusingan U" yang dilakukan dari laluan penerbangan tidak mungkin diletakkan dalam mod pandu automatik.

Pada petang 8 Mac 2014, pesawat MH370 dengan 239 orang di dalamnya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju ke Beijing tetapi hilang daripada skrin radar kira-kira dua jam selepas berlepas.

Susulan itu, operasi pencarian besar-besaran membabitkan beberapa negara telah dijalankan di selatan Lautan Hindi, namun pesawat tersebut mahupun serpihannya tidak ditemui.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita